Pages

Monday, November 19, 2012

Kronologi Tragedi Berdarah Memali 1985

Pada tarikh 19 November 2012 hari ini, genaplah 27 tahun berlalunya peristiwa berdarah Memali yang merupakan detik hitam dalam lipatan sejarah negara kita. Bukan di Palestin yaa... Di Memali, Kedah. Di negara kita Malaysia yang aman damai katanya.Walaupun kisah ini mungkin agak sensitif bagi sesetengah pihak, tidak salah rasanya aku berkongsi buat para pembaca sekalian yang mungkin masih bercawat ketika itu ataupun masih belum lahir lagi tatkala tragedi ini berlaku. Supaya kita dan generasi mendatang akan terus sedar perihal kekejaman dan kezaliman yang berlaku dan tidak lupa  memperingati pemergian 14 orang syuhada Memali yang gugur.




Berikut adalah kronologi peristiwa tersebut:-


18 November 1985

Jam 1935:
Bertempat di Kem Pasukan Polis Hutan ( PPH ) Sungai Petani, Kedah; seramai 3600 kekuatan pasukan polis dari pelbagai bahagian termasuk Unit Simpanan Persekutuan ( FRU ) Pulau Pinang, dari Senoi Prak dan Komando 69 telah bersiap sedia menurut arahan. Kebanyakan mereka bukan beragama Islam.

Seorang Pegawai Tinggi dari Bukit Aman, Dato’ Yahya Yeop telah mengetuai Ops Hapus ini dengan bantuan beberapa orang pegawai dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Jam 1945:
Dato’ Razali Yeop mengeluarkan arahan iaitu:- Menyerang hendap satu kem komunis dalam daerah Baling yang terletak berhampiran sempadan Thailand.


Jam 2005:        
Berlaku kekecohan di antara para pegawai di Kem Sungai Petani dengan pegawai dari Bukit Aman di bilik operasi Sg. Petani. Kekecohan ini disebabkan perasaan tidak puas hati para pegawai di Kem Sg. Petani terhadap arahan tersebut kerana sepanjang pengetahuan mereka tidak wujud sebarang kem komunis di daerah Baling. Jika benar kem itu wujud, sudah tentu mereka, PPH akan lebih dahulu mengetahuinya.

Namun menurut mereka, arahan itu adalah palsu kerana tempat sasaran mereka itu adalah kepada Ustaz Ibrahim Libya dan madrasahnya, tempat beliau menyampaikan kuliyyah setiap malam. Malah Pegawai PPH Kem Sg. Petani itu turut menjelaskan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud adalah seorang tokoh ulamak yang disegani. Ramai di kalangan anggota PPH Sg. Petani turut mengikuti pengajian agama bersama beliau.

Akibatnya, sedikit kekecohan telah berlaku di Bukit Aman kerana beberapa kali Penolong Pesuruhjaya Polis Bukit Aman gagal dihubungi. Beberapa panggilan lain dibuat. Akhirnya, pihak di Sg. Petani telah berjaya disambungkan dengan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ketika itu, Dato’ Musa Hitam yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Mereka menyatakan bahawa Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ulamak yang disegani dan telah banyak berjasa dalam menaikkan taraf hidup masyarakat

Namun TPM menegaskan supaya Ops Hapus (beliau sendiri yang menamakannya sedemikian) tetap diteruskan.


Jam 2045:
Satu majlis keraian telah diadakan di dataran terbuka Kem PPH. Minuman keras telah sengaja dihidangkan kepada para anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi. Namun ada sebahagian daripada anggota PPH tidak menyentuh minuman tersebut.


Jam 2147:
Dato’ Razali Yeop selaku Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah menerima mesej daripada wayarless menyatakan 10 perisik PPH telah berjaya memasuki kawasan Memali dan seterusnya memberikan laporan keadaan di sana. Semua unit kemudiannya telah bergerak di bawah pimpinan 8 pegawai muda memasuki Baling dengan iringan 2 buah kereta perisai. Ketika ini PPH Sg. Petani telah mula tidak berminat untuk menyertai Ops Hapus ini.

Ketika itu Ustaz Ibrahim sedang menyampaikan kuliyyah seperti biasa untuk lebih kurang 50 orang yang mengikuti pengajiannya. Kuliyyah itu berlanjutan sehingga pukul 11.45 malam. Ada yang pulang ke rumah dan ada juga yang bermalam di madrasah.


Jam 0000:
Arahan terakhir telah diterima. Namun PPH Sg. Petani mencadangkan agar hanya sekatan sahaja yang dilakukan agar Ustaz Ibrahim Mahmud dan pengikutnya berpeluang menyerah diri. Mereka menganggarkan bahawa kepungan itu akan mengambil masa paling lama 3 bulan.

Cadangan tersebut dibantah oleh para pegawai dari Bukit Aman dengan sokongan OCPD Baling. Mereka menganggap strategi itu akan melibatkan pihak polis dan anggota tentera yang bertugas di Sik dan Baling, sempadan Malaysia – Thailand.

Sekali lagi kekecohan berlaku kerana 90% anggota tentera di situ menyokong gerakan Islam dan arahan Ops Hapus ini kembali dipertikaikan. TPM cuba dihubungi ketika ini namun gagal kerana beliau telah menuju ke sebuah hotel di Kuala Lumpur. Ketika itu juga, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Radzi Ahmad sedang mengikuti perkembangan Ops Hapus dari Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.

Kemudian, TPM telah menghubungi mereka dengan suara yang marah dan agak terganggu beliau telah berkata, "Teruskan Ops Hapus, walaupun terpaksa menyerang seluruh negeri Kedah!".

Pada waktu yang sama, seorang pemuda telah memberhentikan motosikalnya di hadapan pagar rumah Ustaz Ibrahim. Setelah diizinkan, dia masuk ke rumah Ustaz Ibrahim dan memaklumkan bahawa sewaktu dia tiba di pekan Baling dia telah melihat sekumpulan polis yang terlalu ramai di sana.

Lalu Ustaz Ibrahim dikejutkan dan begitu juga dengan 39 muridnya yang tidur di madrasah telah diarahkan oleh Ustaz Ibrahim untuk bersiap sedia mempertahankan diri. Mereka mula mengumpulkan senjata seperti kapak, parang, buluh runcing, pisau dan yang lebih berani lagi telah membuat molotov cocktail. Ustaz ibrahim juga menegaskan ketika itu bahawa beliau tidak akan menyerah kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ).

Ustaz Ibrahim kemudiannya mengarahkan pengikut-pengikutnya berwudhu’ di sebuah telaga yang berhampiran dan seterusnya menunaikan solat sunat, solat hajat dan membaca Yasiin. Setelah itu beliau menyampaikan ucapan yang menyatakan:

Beliau lebih rela mati syahid daripada menyerah diri dan tunduk kepada ISA yang menahan orang tanpa memberi peluang kepada mereka untuk dibicarakan di mahkamah malah menjadi alat kepada mereka yang ingin menaikkan semangat nasionalisme. Sekiranya perintah tahanannya di bawah akta lain, beliau akan keluar menyerah. Tapi mestilah dibicarakan di mahkamah.

Dia berkata lagi kepada pengikutnya, sesiapa yang rasa ragu-ragu boleh keluar dari kawasan itu namun kesemua yang ada pada malam itu langsung tidak beralih dari tempat mereka.

Laungan takbir bergema dan memecah keheningan malam itu. Ketika itu pula di IPD Baling, segala persiapan serangan ke atas Kampung Memali semakin rancak dilakukan terutamanya oleh anggota –anggota polis yang telah mabuk dan hilang fikirannya.


19 November 1985


Jam 0100-3600:
Anggota polis dari pelbagai unit telah tiba di Memali dengan senjata automatik dan diiringi 2 buah kereta perisai mula mengepung Kg. Memali.

Ketika itu, TPM masih lagi di hotel kerana dia tidak dapat dihubungi. Segala urusan komunikasi dijalankan dengan timbalannya yang berada di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.

Kebanyakan anggota polis beranggapan bahawa mereka akan menyerang sebuah Kem Komunis – sebagaimana yang telah diberitahu oleh Dato’ Razali Yeop kepada mereka. Manakala pasukan polis dari Sg Petani kecil bilangannya dan masih lagi samar dengan tugasan mereka.


Jam 0300:
Kampung Memali telah dikepung seluruhnya oleh pihak polis dan semua jalan keluar masuk telah ditutup. PPh Sg Petani telah diarahkan untuk mengepung bahagian Selatan manakala FRU dan Special Branch (SB) telah mengepung bahagian Utara dan Komando 69 pula telah mengepung sebelah belakang rumah Ustaz Ibrahim yang juga merupakan sekolah agamanya.


Jam 0336:
Dato’ Yahya Yeop telah bercakap melalui megafon dan meminta supaya Ustaz Ibrahim menyerah diri. Ustaz Ibrahim berbincang dengan murid-muridnya lalu mereka semua bersepakat untuk tidak akan keluar menyerah diri. Kesemuanya telah siap-sedia untuk mati syahid dan mereka bertakbir sekali lagi.


Jam 0400:
Sekumpulan orang kampung termasuk wanita telah muncul dari arah utara. Mereka telah meredah benteng pertahanan anggota polis dan membawa bersama peralatan yang sering mereka gunakan untuk bertani sebagai senjata. Mereka ingin memasuki rumah Ustaz Ibrahim Mahmud untuk memberikan sokongan.

Ketika itu, komando 69 yang masih mabuk telah melepaskan tembakan secara rambang ke arah mereka. Namun sasarannya tersalah lalu mengenai seorang pegawai kanan, seorang pegawai rendah dan seorang konstabel PPH. Manakala orang-orang kampung tadi telah berpatah balik kerana ketakutan.

Satu perundingan tergempar antara pegawai-pegawai Ops Hapus diadakan untuk meredakan ketegangan sesama mereka sendiri akibat tembakan tersebut. Arahan mengepung rumah Ustaz Ibrahim itu masih lagi berkuat kuasa namun pegawai dari IPD Alor Setar mahu menarik balik anggotanya dari Ops Hapus tersebut dan mahu supaya kepungan dibatalkan. Mereka telah mengambil iktibar dari kemalangan yang menimpa rakan-rakan mereka tadi .

Dato’ Yahya Yeop telah menolak permintaan IPD Alor Setar dan mengarahkan agar kepungan diteruskan.


Jam 0521:
Azan Subuh berkumandang dari rumah Ustaz Ibrahim . Laungan azan itu menjentik hati para anggota polis dari Alor Setar. Mereka semakin tawar hati malah mencurigai tujuan sebenar Ops Hapus ini.

Suara bacaan Ustaz Ibrahim yang mengimami Solat Subuh itu semakin sayu. Tiba-tiba seorang pegawai berbangsa India dari Bukit Aman mengarahkan agar serangan dimulakan ketika itu namun arahannya ditentang oleh pegawai-pegawai bawahannya yang beragama Islam.


Jam 0559:
Solat Subuh selesai. Sekumpulan orang kampung muncul lagi lalu menyerbu masuk ke kawasan rumah Ustaz Ibrahim sambil melaungkan takbir dan menggenggam senjata kampung.

Melihatkan reaksi itu, maka Pegawai PPH mengarahkan anggotanya berundur dan membiarkan orang kampung. Mereka PPH hanya diarahkan untuk bertahan dan bersiap sedia. Keadaan semakin cerah dan ini semakin mendedahkan kejijikan perancangnya. Ini dikukuhkan lagi dengan beberapa siri penangkapan pemimpin-pemimpin Islam sebelum Ops Hapus ini.


Jam 0815:
Setelah mendapat kelulusan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, maka Dato’ Yahya Yeop sebagai Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah mengarahkan 2 buah kereta perisai mula menyerang rumah Ustaz Ibrahim Mahmud. Mereka kemudiannya dihalang oleh pengikut-pengikut Ustaz Ibrahim dengan lontaran molotov cocktail.

Pasukan polis memberikan respon berundur terhadap lontaran tersebut sambil memuntahkan peluru dari senjata automatik. Pada waktu yang sama, 4 wanita dan 3 kanak-kanak telah berlari keluar dari rumah setelah diarahkan oleh Ustaz Ibrahim. Mereka kemudiannya telah dikepung dan ditangkap lalu dihumban ke dalam trak polis yang diawasi oleh anjing.

Tembakan daripada pihak polis masih lagi berterusan dan mereka sambutnya dengan laungan takbir.


Jam 1105:
Komando 69 diarahkan untuk menyerang rumah Ustaz Ibrahim Mahmud. Pasukan polis mula melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah rumah Ustaz Ibrahim. Mereka menghadapinya dengan kain basah atau membasuh muka malah ada juga yang menutup dengan guni basah. Selain itu ada juga yang mengunyah daun-daun kayu setelah membaca sesuatu ayat.

Mereka berjaya menghadapi serangan gas pemedih mata itu yang berlangsung selama beberapa minit melainkan beberapa kanak-kanak. Salah seorang kanak-kanak itu telah pengsan dan mulutnya berbuih-buih. Cikgu Syafie Ali, salah seorang pengikut Ustaz Ibrahim marah melihatkan situasi kanak-kanak itu kerana menyangka dia telah mati lalu dengan parang yang terhunus beliau telah pergi untuk menyerang polis.

Namun, beliau telah dihujani dengan peluru dan terus ditembak ketika beliau berusaha untuk bangun akibat jatuh setelah ditembak. Maka gugurlah beliau sebagai Syuhada’ pertama Memali.

Serangan gas telah reda. Kemudian kedengaran lagi suara dari Dato’ Yahya Yeop dari megafon dan kali ini meminta supaya pihak yang dikepung menghantar wakil untuk berbincang. Ketika itu, salah seorang anak murid Ustaz Ibrahim; Mat Piah Yunus yang lebih dikenali sebagai Pak Teh telah berjumpa dengan Ustaz Ibrahim dan meminta penjelasan berhubung permintaan Dato’ Yahya Yeop.

Ustaz Ibrahim menyatakan bahawa pintu rundingan pada hari itu telah tertutup dan beliau tidak akan berunding apa-apa pun dan tidak akan menyerahkan diri. Memandangkan kepada ketegasan Ustaz Ibrahim serta murid-murid yang lain maka Pak Teh telah membuat keputusan sendiri sambil bertawakkal kepada Allah. Pak Teh tampil berjumpa Dato’ Yahya Yeop yang berdiri di samping kereta perisai manakala dia sendiri berdiri di sebalik pagar rumah Ustaz Ibrahim.

Pak Teh mempersoalkan tanpa rasa gerun kenapa perlukan perbincangan sedangkan orang kampung sudah ada yang syahid ditembak pihak polis. Dato’ Yahya Yeop terdiam seketika namun kemudiannya menjawab bahawa mereka ingin menangkap 4 orang penjenayah yang berada di situ. Lantas Pak Teh mempelawa beliau untuk masuk sendiri ke rumah Ustaz Ibrahim dan melihat apakah 4 penjenayah itu berada di situ.

Dato’ Yahya Yeop kelihatan tidak berminat dan sedang memikirkan sesuatu setelah mengetahui Ustaz Ibrahim tidak mahu menyerah diri. Setelah berulang-alik antara Ustaz Ibrahim dan Dato’ Yahya akhirnya Pak Teh masuk semula. Namun semasa melewati kumpulan Muslimat dan kanak-kanak yang berada di pagar, beliau sempat mengarahkan mereka untuk berlindung di belakang rumah .

Ketika itu, beliau ternampak ada anggota polis yang ingin menembak Pak Suman dan tanpa berlengah beliau segera menyerbu ke arah polis tersebut dengan parang yang terhunus.

Parangnya sempat singgah kepada salah seorang daripada polis itu, namun kemudian beliau dihujani dengan tembakan yang bertalu-talu dan disambut dengan laungan takbir.

Pak Teh terlantar setelah ditembak sebanyak 14 das tembakan dari M-16. Setelah Ops Hapus, beliau terlantar di Hospital Sg. Petani dengan keadaan bergari. Kemudiannya, beliau dihantar ke Kem Kemunting sebagai tahanan ISA.


Jam 1136:
Komando 69 menyerbu masuk sambil memuntahkan peluru. Berlaku beberapa pergelutan dengan Ustaz Ibrahim dan beberapa orang yang masih lagi bertenaga. Ada juga ahli rumah yang keluar untuk berlawan dengan Komando 69 di halaman rumah. Polis terus menembak mereka walaupun mereka tidak bersenjata.

Ketika serangan yang menggila daripada pihak polis itu dalam tempoh ½ jam, hujan mulai turun renyai-renyai dan terus lebat sebaik sahaja serangan tersebut tamat. Hanya laungan takbir yang terus mereka laungkan sehingga nyawa mereka telah tiada. Ramai yang mati dan ada juga yang cedera teruk.

Beberapa anggota komando telah menyerang Ustaz Ibrahim dan beliau melawan sehingga menyebabkan salah seorang dari mereka terbunuh. Akhirnya beliau syahid apabila badannya ditembusi muntahan peluru dari senjata automatik.

Ustaz Ibrahim gugur dengan tangan yang tergenggam ke atas dan mulutnya masih lagi melaungkan AllahuAkbar!

Seorang pegawai polis telah meluru ke arah Ustaz Ibrahim yang rebah dan memangkunya. Ketika itu juga isteri Ustaz Ibrahim datang. Di saat itu mereka mendengar Ustaz Ibrahim berkata: Alhamdulillah! Kerana telah mengorbankan kami ke jalan mati syahid.


Jam 1213:
Serangan telah ditamatkan. Semua yang ditangkap telah ditutup kepala mereka dengan karung guni. Beberapa anggota komando kelihatan menendang tubuh-tubuh yang terkujur untuk memastikan sama ada mereka telah mati atau tidak. Ada pula yang masih menembak mereka yang terkujur itu sambil mencemuh: Pergi jahanam dengan Islam!


Jam 1305:
Pegawai Pemerintah Ops Hapus telah membuat laporan rasmi kepada Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang dan kepada TPM di Kuala Lumpur. TPM mengarahkan agar semua penduduk Kg. Memali ditangkap agar rahsia Ops Hapus tidak terdedah.


Jam 1500:
Penangkapan penduduk kampung diteruskan dan dibawa dengan 2 buah helikopter polis. Mangsa yang terkorban di kalangan orang kampung termasuk Ustaz Ibrahim dan anggota polis di bawa ke Hospital Sg. Petani dan Alor Setar.


Jam 1510:
Sekitar 30 anggota tentera lengkap bersenjata dari Regimen Askar Melayu Di-Raja ( RAMD ) tiba di hadapan rumah Ustaz Ibrahim Mahmud.

Berlaku pertelagahan antara anggota polis dengan ketua pasukan tentera itu yang berpangkat Kapten. Mereka menyuruh agar anggota polis yang ramai itu bersiap-sedia untuk menghadapi kemungkinan bertempur dengan pihak tentera.

Menyedari bilangan mereka sedikit maka pihak tentera telah mengambil keputusan untuk meredakan ketegangan itu. Lantas Kapten itu berkata :

"Hari ini hari kamu! Kamu boleh lakukan apa yang kamu mahu. Tapi ingat, akan tiba satu hari nanti kami akan menentang kamu dengan kekuatan yang setara!".


*****************************


Tidak lama selepas Tragedi Memali ini, soal-siasat secara besar-besaran telah dijalankan ke atas semua anggota tentera dan polis. Kebanyakan yang dipanggil adalah mereka yang cenderung kepada gerakan Islam iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Mereka juga mendapat tahu akan kewujudan pembekuan kenaikan pangkat terhadap mereka. Lalu ramai yang meletakkan jawatan.

Untuk pengetahuan anda, Kes Memali tidak pernah dibicarakan walau seminit pun di mahkamah. Akan tetapi, terus menerus tertangguh begitu sahaja.


Kini, Memali terus segar dalam simpanan memori para pejuang Islam. Mereka yang cintakan keadilan pasti tersentap dengan perkhabaran tragis ini. Sudah pasti, cerita ini akan menjadi paluan semangat buat seluruh ahli gerakan, betapa ALLAH akan memuliakan dan meninggikan darjat mereka yang berjuang bermati-matian membela dan membantu agama-Nya.

ALLAH menjadi saksi segalanya. Bahkan, Dialah yang mengatur segala hal ini.

Wallahu'alam....




p/s: Klik juga link di bawah (rujukan):-

1. Siapakah Ustaz Ibrahim Libya?
2. Merungkai Peristiwa Memali
3. Tragedi Berdarah Memali
3. Sejarah Memali 1
4. Sejarah Memali 2
5. Video Memali




SZ: Sebak. Sebuah artikel panjang buat mereka yang ingin mengetahui fakta sebenar yang telah diputarbelit media arus perdana.

Friday, November 16, 2012

Kronologi Sejarah Konflik Palestin-Israel

Palestin terletak di wilayah yang dinamakan Bulan Sabit Subur, sebuah kawasan yang pada hari ini meliputi Iraq, Syria, Lubnan, Jordan, Israel, Gaza, dan Tebing Barat. Disebabkan kawasan tanahnya yang subur, luas, dan kedudukan geografinya yang penting sebagai penghubung komunikasi antara Afrika, Asia, dan Eropah, Palestin sering ditakluk sehinga lebih kurang 30 kali dalam sejarahnya yang telah menjangkau 5000 tahun.

Bangsa Kanaan merupakan kaum nomad yang sampai ke Palestin dari padang pasir beribu-ribu tahun sebelum kedatangan Nabi Isa a.s. dan mereka merupakan bangsa pertama yang menghuni kawasan tersebut sebagaimana yang banyak dinyatakan dalam kajian-kajian ahli sejarah. Mereka menamakan negara mereka sebagai Kanaan (Canaan). Perkataan Palestin dicipta oleh orang Yunani yang membawa maksud tanah air orang Philistina atau Filastin dalam bahasa Arab. Pada abad ke 19 dan 20, sebahagian besar tanah Palestin telah diceroboh oleh pendatang Yahudi dari Eropah dan pada tahun 1948 mereka mengisytiharkan penubuhan negara Israel di sebahagian besar tanah Palestin setelah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk memecahkan Palestin yang diperintah dengan mandat antara bangsa Arab Palestin dengan Yahudi.


Berikut merupakan rentetan beberapa peristiwa penting dalam perkembangan konflik Palestin-Israel sejak penguasaan Khilafah Utmaniyyah sehingga tahun 2005:

1516
Pemerintah Uthmaniyyah dari Turki menakluki keseluruhan Timur Tengah termasuk Palestin. Mereka telah menguasai kawasan ini selama 400 tahun.

Abad ke-19
Orang-orang Yahudi ditindas di Eropah. Kumpulan-kumpulan kecil Yahudi Eropah mula berhijrah ke Palestin. Mereka bersepadu dengan penduduk Arab dan mendapat tempat perlindungan untuk mengamalkan agama mereka. Apabila kolonialisme Eropah menakluki hampir seluruh dunia, lahirlah gerakan Zionisme, iaitu sebuah gerakan politik yang mendakwa bahawa menurut Old Testament dan New Testament, semua orang Yahudi mempunyai hak ekslusif ke atas Palestin. Pada masa yang sama, pemerintahan Uthmaniyyah ke atas Palestin dan Timur Tengah menjadi kian lemah.

1869
Sebuah konsortium Perancis-British telah membina Terusan Suez, menerusi Mesir. Terusan yang dibuka pada 1869 ini menjadi jalan pintas ke jajahan Perancis dan jajahan British Ia menjadi cukup penting sehingga British menggabungkan Mesir ke dalam empayarnya pada tahun 1882. Terusan Suez dan kedudukan Timur Tengah yang strategik membuatkan kawasan ini amat diperlukan oleh penjajah.

1896-1897
Theodor Herzl, salah seorang pengasas Zionisme telah menulis sebuah buku berjudul The Jewish State. Dalam buku ini, Herzl menyokong pembentukan negara Yahudi di Palestin. Pada tahun berikutnya, gerakan Zionis mengadakan kongresnya yang pertama di Basel, Switzerland. Penyokong Zionisme mula menguruskan penghijrahan orang Yahudi secara- besar-besaran ke Palestin.

1908
Minyak ditemui buat kali pertama di Timur Tengah oleh orang British di Iran.

1914-1916
Perang Dunia Pertama meletus. Orang Turki bimbang dengan pengaruh Britain dan Perancis yang semakin kuat di Timur Tengah, lantas mereka bersekutu dengan Jerman. Zionis bekerjasama dengan Britain dan mendesak Britain menyokong penghijrahan orang Yahudi ke Palestin. Sebagai balasan, mereka menjanjikan negara Yahudi yang terbentuk nanti akan melindungi kepentingan British di Terusan Suez. Pada masa yang sama, Britain berjanji kepada orang Arab bahawa mereka akan diberikan kemerdekaan jika mereka bangun menentang orang Turki. Justeru orang Arab memulakan pemberontakan. Sementara itu, Britain dan Perancis telah bertemu secara sulit. Dengan menjangkakan bahawa orang Turki akan ditewaskan, kedua-dua kuasa ini merancangkan pembahagian Timur Tengah melalui Perjanjian Sykes-Picot.

1917
Perisytiharan Balfour pada 2 November menyaksikan Setiausaha Luar Negara Britain, Lord Balfour mengumumkan sokongan bersepadu kerajaan Britain kepada pembentukan sebuah negara kebangsaan bagi orang Yahudi di Palestin. Orang Arab membantah. Britain menenangkan mereka dengan berjanji bahawa penempatan Yahudi di Palestin hanya dibenarkan sejauh mana penempatan mereka sejajar dengan kebebasan politik dan ekonomi penduduk Arab. Bagi rakyat Palestin, 2 November menjadi hari berkabung buat seluruh negara.

1918
Orang Arab membebaskan Damsyik daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Walaupun mereka telah dijanjikan kemerdekaan, namun sebulan kemudian Britain menguasai Damsyik. Britain, Perancis dan Amerika Syarikat memenangi Perang Dunia Pertama.

1920-1939
Liga Bangsa dibentuk, dan jelas sekali sebahagian besar negara ahlinya merupakan negara Eropah. Liga memberi Perancis mandat ke atas Syria, manakala Britain diberi mandat ke atas Iraq, Jordan dan Palestin. Di sini mandat ringkasnya membawa makna Britain dan Perancis mentadbir kawasan-kawasan ini sebagai jajahan de facto. Pada 1 September 1920, Perancis membentuk Lubnan Besar, merangkumi Gunung Lubnan dan beberapa bahagian Syria.

Dengan persetujuan British, Zionis memulakan penghijrahan orang Yahudi Eropah secara besar-besaran ke Palestin. Antara tahun 1919 dan 1936, penduduk Yahudi di Palestin bertambah dari 58 000 kepada 348 000 orang. dalam tempoh yang sama, penduduk Arab di Palestin bertambah dari 642 000 kepada 978 000 orang. Zionis menubuhkan Dana Kebangsaan Yahudi untuk membeli tanah di Palestin tetapi mereka dapat memperluaskan bahagian tanah mereka sebanyak 5.6 peratus sahaja.

Rakyat Palestin membantah penhijrahan Zionis yang semakin pesat, tetapi Britain tidak bertindak balas. Pada tahun 1936, Palestin mengisytiharkan mogok peringkat kebangsaan sebagai membantah penghijrahan Zionis. Tidak lama kemudian mogok rakyat Palestin bertukar menjadi pemberontakan bersenjata terhadap British. Namun pada tahun 1939, British bersama Zionis telah berjaya menghancurkan pemberontakan tersebut.

1943
Kemerdekaan Lubnan, dan kuasa diagih-agihkan mengikut agama dengan kekuatan sesuatu komuniti agama didasarkan kepada bilangan yang diandaikan. Kuasa orang Kristian tidak dapat ditandingi, dipastikan oleh nisbah enam ahli Kristian kepada setiap lima ahli Islam di Parlimen. Presiden mesti seorang Kristian Maronite. Perdana Menteri seorang Muslim Sunni, Speaker Parlimen seorang Muslim Syiah dan seterusnya daripada struktur yang berasaskan kepercayaan agama atau gabungan yang terbentuk daripada komuniti bangsa. Pegawai kanan Angkatan Tentera Lubnan kebanyakannya orang Kristian.

1939-1945
Perang Dunia Kedua meletus. Dasar British berkaitan Palestin berubah dan secara tiba-tiba sahaja mereka cuba menghadkan penghijrahan Zionis untuk menghalang orang Arab daripada menyokong Jerman. Zionis mengaturkan penghijrahan secara haram dan terus terang menentang British. Di Eropah, Adolf Hitler memulakan penghapusan etnik Yahudi. Sebelum Jerman tewas, berjuta-juta orang Yahudi telah dibunuh. Lebih daripada 200 000 orang Yahudi dapat berhijrah ke Palestin di bawah program Zionis. United Nation (UN) atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan. Syria, Lubnan, dan Jordan mencapai kemerdekaan tetapi tidak Palestin.

1946
Pertempuran ganas antara orang Yahudi Zionis dengan rakyat Palestin. Britain tidak lagi dapat mengawal keadaan dan membiarkan PBB memikul tanggungjawab ke atas isu Palestin.

1947
Resolusi Pemecahan yang ditetapkan oleh PBB membahagikan Palestin di bawah mandat Zionis Yahudi dengan orang Arab Palestin. Rakyat Paletsin menolak pembahagian tanah air mereka. Zionis bersiap sedia untuk menghadapi pemecahan dan memulakan kempen keganasan terhadap rakyat Palestin untuk memaksa mereka lari meninggalkan kampung halaman.

1948
Tentera-tentera British meninggalkan Palestin. Zionis mengisytiharkan negara Israel untuk kaum Yahudi. Negara-negara Arab menghantar angkatan tentera untuk menentang negara baru ini. Sejumlah 800 000 rakyat Palestin lari sebelum kemaraan askar Israel. Ankatan tentera Arab terpaksa berundur dan hanya mampu mengekalkan Tebing Barat Palestin dan Gaza. Jordan menguasai Tebing Barat dan Mesir mengambil alih pentadbiran Gaza.

1949
Israel diterima sebagai negara anggota PBB. Pada masa yang sama PBB mengarahkan Israel untuk membenarkan rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka, tetapi Israel tidak mematuhi arahan ini. Akhirnya rakyat Palestin terpaksa tinggal di kem-kem pelarian di bawah kelolaan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Amal PBB) di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat, dan Gaza. Rakyat Palestin tidak menubuhkan sebarang gerakan penentang tetapi sebaliknya mereka bersikap tidak peduli dan menanti sahaja kedatangan tentera Arab untuk membebaskan Palestin.

1956
Mesir memiliknegarakan Terusan Suez. Israel, Britain, dan Perancis menentang Mesir. Kesatuan Soviet mengancam akan mengebom Paris dan London. Amerika Syarikat memaksa penyerang berundur. Sekumpulan penuntut Palestin-salah seorang daripada mereka ialah Yasser Arafat- memutuskan untuk bertindak sendiri dan mereka menubuhkan Gerakan Pembebasan Palestin atau al-Fatah.

1958
8 Mei: Perang Saudara Lubnan yang pertama bermula. Perang berakhir pada 14 Oktober.

1964
Negara-negara Liga Arab menubuhkan Palestine Liberation Organization (Pertubuhan Pembebasan Palestin) atau PLO. Pergerakan Fatah tidak menganggotai PLO kerana mereka menganggap PLO terlalu dipengaruhi oleh negara-negara Arab.

1965
1 Januari; Fatah menjalankan operasi gerilanya yang pertama di Israel.

1967
Perang Jun: Angkatan tentera Arab ditumpaskan. Dalam tempoh enam hari sahaja Israel telah menambah wilayahnya sebanyak tidak kali ganda dengan menduduki Semenanjung Sinai di Mesir, Bukit Golan di Syria, Tebing Barat, dan Gaza. Kini seluruh Palestin diduduki. Sejumlah 416 000 pelarian baru dari Tebing Barat dan Gaza tiba di Jordan, Mesir, Syria, dan Lubnan. Kuasa besar Amerika Syarikat dan Russia memulakan serangan diplomatik untuk memujuk negara-negara Arab supaya mengiktiraf Israel, dan sebagai balasan Israel akan beredar dari kawasan-kawasan yang didudukinya. Namun tiada sepatah perkataan pun disebut tentang hak kebangsaan rakayat Palestin.

1968-1969
Perjanjian Kaherah mengesahkan kehadiran rakyat Palestin bersenjata di Lubnan dan menggunakan sebahagian kawasan selatan sebagai tempat melancarkan serangan ke atas Israel. Ketiadaan angkatan bersenjata selepas tentera Arab dalam Perang Jun kemudiannya diganti dengan kehadiran Fatah. Beberapa lagi kumpulan komando ditubuhkan seperti Barisan Hadapan bagi Pembebasan Palestin dan Barisan Demokratik. 21 Mac 1968: Pertempuran Karameh- kumpulan gerila Palestin di Jordan berjaya menumpaskan angkatan tentera Israel. PLO mengambil alih kuasa ke atas kem pelarian di Lubnan dan di Jordan. Disember 1968: Israel menyerang lapangan terbang Beirut; maka bermulalah konflik di Lubnan berkaitan isu Palestin. Pada tahun 1969, kumpulan-kumpulan komando mengambil alih PLO dan pemimpin Fatah, Yasser Arafat dilantik sebagai pengerusi PLO. Pangkalan gerila turut ditubuhkan di Jordan.

1970-1971
Peristiwa Black September. Banyak sekali operasi gerila PLO yang dilancarkan dari Jordan, tindak balas dendam oleh Israel terhadap pengkalan gerila dan kampong-kampung di Jordan, perampasan empat buah kapal terbang ke Jordan, dan bertambahnya kekuatan tentera PLO mencetuskan konfrontasi antara gerakan pembebasan dengan Raja Hussein dari Jordan. Selepas pertempuran dan pembunuhan beribu-ribu rakyat Palestin, angkatan tentera Raja Hussein berjaya mengusir keluar gerakan pembebasan dari Jordan pada Septrember 1971. PLO memindahkan ibu pejabatnya dari Jordan ke Lubnan. Serangan gerila yang berterusan terhadap Israel menyebabkan Israel melancarkan serangan udara terhadap selatan Lubnan. Presiden Jamal Abdul Nasser dari Mesir meninggal dunia dan Anwar Sadat menggantikannya.

1973
Perang Oktober: Usaha Damai kuasa-kuasa besar ke atas Timur Tengah beransur-ansur menjadi buntu kerana Israel enggan bertolak ansur. Untuk memecahkan kebuntuan, Mesir dan Syria memulakan serangan terhadap angkatan tentera Israel di Semenanjung Sinai dan Golan. Negara-negara Arab memulakan sekatan minyak. Rundingan damai yang baru bermula.

1974
Pengerusi PLO, Yasser Arafat menyampaikan ucapan pertamanya di Perhimpunan Agung PBB. Sebahagian besar negara di dunia -105 buah negara- mengiktiraf PLO sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin. Pada masa yang sama, PBB mengiktiraf hak rakyat Palestin terhadap tanah air kampung halaman mereka sendiri.

1975
Operasi gerila yang begitu banyak dari selatan Lubnan menyebabkan Israel memulakan operasi pengeboman yang dahsyat terhadap kem pelarian Palestin di kawasan berkenaan. Mereka turut menyerang perkampungan-perkampungan di Lubnan untuk memaksa penduduk lari meninggalkan rumah mereka. Zionis menegaskan bahawa selatan Lubnan juga adalah milik negara Yahudi yang juga diistilahkan mereka sebagai Tebing Utara Israel. Rabbai IDF mengeluarkan risalah yang mewar-warkan bahawa bandar dan kampung di Lubnan dinamai dengan nama Ibrani kuno. Beirut ditandai Be’erot (telaga-telaga), manakala Lubnan diperihalkan sebagai tanah puak Asher.

13 April: Sayap kanan Phalange Kristian menyerang bas yang sarat dengan rakyat Palestin dan beberapa orang rakyat Lubnan. Mereka dibunuh beramai-ramai. Perang saudara Lubnan bermula. Sayap kanan Angkatan Tentera Lubnan bertindak untuk membersihkan semua kawasan Beirut Timur dan kawasan utara daripada PLO dan Gerakan Kebangsaan Lubnan (Lebanese National Movement atau LNM).
PBB mengutuk Zionisme sebagai bersifat perkauman. Mesir di bawah pemerintahan Anwar Sadat dan Israel menandatangani Perjanjian Interim yang kedua; lapangan minyak Abu Rudeis diletakkan semula di bawah Mesir.

1976
Seluruh anggota sayap kanan Barisan Lubnan menyerang kawasan orang Islam, Palestin dan Kristian yang berdegil di Beirut Timur: kem-kem Palestin ditawan, Dbayyeh (ditawan pada 14 Januari); Jisr al-Basha (lebih kurang 2000 orang Kristian) dan Tal al-Za’atar (30 000 rakyat Palestin dan rakyat Lubnan ditawan pada 12 Ogos); daerah sesak Syiah, Maslakh dan Karantina (ditawan pada 18 Januari), pinggir bandar Syiah, Nabab (ditawan pada 6 Ogos), dan Badawi, kawasan kecil Kristian Armenia. Gabungan LNM dan angkatan bersenjata Palestin yang dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Bersama telah membalas dengan menawan bandar pantai Damour; penduduk Kristian Maronite diusir.

Pertengahan Januari: Angkatan Tentera Lubnan berpecah. Unit-unit tentera yang menentang persubahatan Kuasa Pemerintahan Tentera dengan sayap kanan angkatan bersenajat Kristian menarik diri daripada angkatan tentera dan membentuk Angkatan Tentera Arab Lubnan di bawah kuasa pemerintahan Leftenan Ahmad Khatib. Jun: Angkatan Bersenjata Bersama hampir-hampir menewaskan sayap kanan Barisan Lubnan apabila angkatan tentera Syria memasuki Lubnan atas undangan Presiden Lubnan, Sulaiman Franjieh. Kejayaan gerakan umum dan progressif tiba-tiba terencat. Syria bermula dengan menyerang angkatan tentera campuran LNM dan PLO dan dua tahun kemudian berlawan dengan sayap kanan campuran Maronite.

1977
16 Mac: Kamal Jumblatt, pemimpin LNM dibunuh. 19 November: Presiden Mesir, Anwar Sadat datang ke Jerusalem untuk memulakan rundingan damai. Lawatannya dikutuk oleh Liga Arab, terutamanya PLO.

1978
Mac: Israel menyerang selatan Lubnan, 2000 orang awam terkorban dan 200 000 lagi menjadi pelarian; enam buah kampung dimusnahkan dan 82 buah lagi dirosakkan. Israel dipaksa berundur tetapi mereka menubuhkan zon penampan atau Lubnan Bebas seluas 10 kilometer di wilayah Lubnan.

1979
Perjanjian damai yang akhir ditandatangani antara Mesir dan Israel. Israel dikehendaki mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Mesir; pemindahan selesai pada tahun 1982. Sementara Mesir dan Israel sedang berunding, tentera Israel mengebom kem pelarian rakyat Palestin di Lubnan. Mesir kemudiannya dipecat daripada Liga Arab. Sayap kanan Angkatan Tentera Lubnan yang disokong Israel mengisytiharkan negara mereka sendiri di beberapa bahagian selatan Lubnan.

1980
Iraq menyerang Iran. Bermulalah Perang Teluk.

1981
Pesawat pengebom Israel menyerang dan menghancurkan sebuah reaktor nuklear di Baghdad, Iraq. 300 orang terbunuh dan 800 orang tercedera dalam seranga udara Israel ke atas kawasan orang awam di Beirut. Angkatan tentera Israel dengan cara yang teratur telah memusnahkan jambatan-jambatan yang menyeberangi Sungai Litani. Para diplomat Amerika merundingkan gencatan senjata di sempadan Lubnan-Israel. Disember: Israel secara tidak sah merampas Bukit Golan dari Syria.

1982
Jun: Cubaan membunuh duta Israel ke London oleh kumpulan Palestin yang radikal dan anti-PLO dijadikan alasan bagi Israel untuk menyerang Lubnan (perang Arab-Israel yang keenam); pengepungan Beirut selama tiga bulan; pengusiran angkatan bersenjata PLO dan angkatan tentera Syria dari Beirut.

14 September: Pembunuhan bakal Presiden Lubnan, Bashir Gemayel selepas beliau enggan mengikat perjanjian damai dengan Israel. 15-17 September: Pembunuhan beramai-ramai Shabra dan Shatila dijalankan oleh militia Kata’ib yang diketuai Elias Hobeika dan di bawah perlindungan dan sokongan tentera Israel. Menteri Pertahanan Israel pada ketika itu ialah Ariel Sharon.

1983
Angkatan tentera di bawah kuasa Phalange menguasai kawasan Beirut Barat. Penentangan di bawah sokongan Syria meletus dalam Fatah dan PLO; pertempuran di Lembah Biqa’a dan Tripoli, utara Lubnan berakhir dengan pemecatan askar yang setia kepada Pengerusi PLO, Arafat.

1984
Februari: Pemberontakan popular di Beirut Barat mengakhiri kuasa Phalange.

1985
Tentangan orang awam yang bersenjata terhadap askar Israel memaksa mereka berundur dari kebanyakn kawasan Lubnan yang kemudiannya diambil alih oleh pergerakan Amal, Hizbullah, dan Parti Komunis; enklaf PLO di Saida dan kem pelarian Rashidiyyah berhampiran Tyre. Mei: Militia Amal menyerang Shabra, Shatila, Bourj al-Barajneh. Bermulalah Perang Kem.

1986
Januari: Pertempuran Empat Hari di Shatila. April: Pertempuran Dua Puluh Hari di Shatila. Julai: Pertempuran Tiga Puluh Hari di Shatila. September: Pertempuran Enam Bulan bermula di Rashidiyyah, kemudiannya di Bourj al-Barjneh pada bulan Oktober, dan akhirnya di Shatila pada bulan November.

1987
Februari: Sekatan makanan ditarik balik di Bourj al-Barajneh dan Shatila; namun tembakan curi berterusan. Penyatuan semula PLO semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers. Disember: Meletusnya intifada (kebangkitan rakyat Palestin), pemberontakan popular di Tebing Barat dan Gaza di bawah pendudukan Israel.

1988
Januari: Amal menarik balik pengepungan Shatila dan Bourj al-Barajneh. Mei: Pertempuran di kem-kem di Beirut, di bawah sokongan Syria; Shatila dan Bourj al-Barajneh ditawan; mereka yang setia kepada Yasser Arafat diusir. Disember: Mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers mengistiharkan perlembagaan negara Palestin.

1993
Pihak berkuasa Palestin dan Israel and telah menandatangani Deklarasi Oslo pada 13 September 1993 yang menjanjikan pemerintahan bebas dan berdaulat untuk rakyat Palestin.

1994
Kawasan aman Israel-Jordan dibentuk pada 26 Oktober.

2002
Pada 24 Jun, Presiden Amerika Syarikat, George Bush memetakan penyelesaian konflik Israel-Palestin. Namun perkembangan yang berlaku tidak menunjukkan kemajuan. Malah pertempuran sering berlaku saban hari.

2004-2005
Kematian Yasser Arafat. Mahmood Abbas mengambil alih jawatan sebagai pemimpin Palestin sehingga sekarang.

*Rujukan:
Bendt & Downing. 1982. We shall return: women of Palestine. Trans. Ann Henning, Zed, London, 1982.





SZ: Sekurang-kurangnya, ambil tahu apa yang berlaku terhadap saudara kita di sana. Walaupun ada yang baru nak ambil tahu sekarang, lebih baik daripada tak ambil tahu langsung sampai bila-bila.

Thursday, November 15, 2012

Hijrah Sperma Menjadi Seorang Manusia

Sperma. Tidak pasti apa penjodoh bilangan yang sesuai baginya. Seekor sperma atau seorang sperma? Merupakan makhluk yang menginap secara berjemaah di dalam skrotum di bahagian epididimis seorang homosapien yang bergelar lelaki. Namun setelah tiba masanya, para sperma telah dipaksa keluar dari kediaman mereka. Saat itu, telah berlakunya peristiwa penghijrahan beramai-ramai jutaan sperma ke suatu tempat yang asing. Mereka telah berhijrah ke dalam tubuh seorang wanita melalui kaedah pancutan.

Di tempat atmosfera baru tersebut, kaum sperma terpaksa berlumba sesama sendiri menuju ke Tiub Fallopio. Dengan hasrat dan azam yang tinggi untuk menjadi satu-satunya sperma yang berjaya memikat hati si ovum. Pelbagai rintangan ditempuhi. Hingga ada yang sesat dan terperangkap. Malah ada yang terlanggar divider jalan dan terbunuh. Hanya satu sahaja sperma bertuah yang layak bersatu dengan ovum.


Setelah sperma dan ovum bersatu, selaput ovum tiba-tiba bertukar dan bertindak menyekat kemasukan sperma yang lain. Tanda hatinya sudah dimiliki dan tertutup rapat buat sperma-sperma lain. Sperma yang terpilih itu pun bersenyawa dengan ovum dan menjadi zigot. Setelah membesar, bertukar pula menjadi embrio, lalu berhijrah ke uterus untuk menempel di situ. Setelah itu, berlaku pelbagai lagi transformasi sehingga menjadi fetus yang hampir lengkap ciri-ciri seorang bayi.

Genap 9 bulan 10 hari, fetus mula mengganas. Menendang-nendang tempat penginapannya sebagai tanda protes mahu berhijrah lagi. Kali ini, dia mahu berhijrah ke tempat yang lebih luas dan nyaman. Akhirnya... Uwekk.. Uwekk.. Uwek.. Dia berjaya keluar dari alam rahim untuk berhijrah ke alam dunia. Fetus kini bergelar bayi. Dan akan terus membesar dan membesar lagi menjadi seorang manusia.


Hijrahnya tidak akan terhenti setakat itu saja. Di dunia yang fana ini, dia akan terus berhijrah. Berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat. Berhijrah dari darul kufur ke darul Islam. Berhijrah dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Berhijrah daripada seorang manusia menjadi seorang insan yang soleh dalam usaha menjayakan misi penghijrahannya yang terakhir. Iaitu hijrah menuju keredhaan Allah serta syurga yang kekal abadi. InsyaAllah...

"Dan sesiapa yang berHijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berHijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berHijrah kepada Allah dan Rasulnya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala Hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nisa : ayat 100)



p/s : SILA KLIK Proses Kejadian Manusia Menurut Al-Quran



SZ : 1 Muharram merupakan ulangtahun penghijrahanku ke alam dunia dari alam rahim . Mak aku cakap, aku lahir pada 25 Ogos bersamaan 1 Muharram. So, hari ni ulangtahun kelahiran aku dalam bulan Islam. :D