Pages

Friday, December 6, 2013

Jumaat Terakhir Sebelum Bergelar Suami

Salam A'laik..

Alhamdulillah hari ini aku diberi sedikit kesempatan dan kerajinan untuk update blog yang sudah lama terbengkalai. Janji tinggal janji konon nak kembali aktif berblogging sebelum ini. Tapi apakan daya aku sibuk dengan hal lain. Kumpul duit nak kahwin. Heheh. Eh, nak kahwin dah?

Bagi yang belum tahu, hari ini adalah Jumaat terakhir sebelum aku bergelar suami. Aku sedang meniti minggu terakhir kehidupan sebagai seorang bujang.

Jadi, dikesempatan ini, saya Mohd Solihin bin Mohd Zubir dengan penuh rasa kesyukuran dan berbesar hati ingin memaklumkan kepada Tuan/Puan/Saudara/Saudari rakan-rakan sekalian bahawa saya bakal dinikahkan pada 11 Disember 2013 bersamaan 8 Safar 1435H. Sementara majlis walimah sebelah perempuan akan diadakan pada 12 Disember keesokan harinya. Manakala majlis bagi pihak lelaki pula bakal dilangsungkan pada 15 Disember 2013.

Majlis walimah di pihak aku diadakan secara sederhana sahaja. Bagi yang mengenali diri ini, jemputlah hadir. Satgi cakap tak jemput pulak kan? Hehe. Yang tidak dapat hadir, sebesar hama pun aku tak berkecil hati. Cukuplah doa kalian dari kejauhan mengiringi majlis aku nanti mudah-mudahan ianya diberkati dan diredhai Allah SWT. InsyaAllah.

Entry ini hanyalah sebagai hebahan bahawa aku akan bernikah. Bagi mengelakkan timbul fitnah jika ada sesiapa ternampak dan menuduh aku keluar bermaksiat dengan bukan mahram. Ceh. Bajet retis semua orang kenal. Haha.. Gurau je.

Doakan selamat semuanya.




SZ: Ramai jugak sebenarnya yang request entry berkenaan isu itu isu ini. Tapi maaflah, tak berkesempatan. Aku pulak bukan jenis main taip kelam kabut asal boleh je. Harap-harap bila dah berumahtangga nanti, akan ada lebih ruang untuk aku update blog.Sayang sebenarnya kat blog ni.

Tuesday, October 8, 2013

Aku Hulur Tangan Nak Bersalam Dia Buat Bodoh

Malam minggu yang lepas aku ke kedai makan ada meeting pasal bisnes. (Ceh. Poyo gila bunyi. Dah macam drama korporat kat tv.) Sampai je, dah ada 4 orang lelaki tengah tunggu kat meja. Dua orang tu aku memang kenal sebab kawan aku. Dua orang lagi aku tak kenal sebab baru first time jumpa. Dah jadi kebiasaan kalau jumpa orang aku akan bagi salam dan hulurkan tangan untuk berjabat. Suci kan perangai i.


"Tidaklah dua orang Muslim saling bertemu kemudian berjabat tangan, kecuali akan diampuni (dosa-dosa) mereka berdua sebelum mereka berpisah." - HR Abu Dawud & At-Tirmidzi


Aku pun start salam sorang demi sorang. Sampai giliran mamat yang keempat, dia boleh buat bodoh je masa aku hulur tangan nak salam dengan dia. Aku bagi salam sekali lagi sambil hulur tangan kat dia. Dia boleh buat donno hadap tablet, pandang aku pun tak. "Bapak kerek gila mamat ni. Macam bagus je", bisik hati nurani ku yang suci murni ini.

Lepas tu baru kawan aku siku sambil cakap, "Tu pompuan la." Akak tu pun hulur business card yang tertera jelas nama beliau siap berbinti. Memang sah nama seorang perempuan Islam.

Dem. Malunya aku. Mati-mati aku ingat lelaki. Dengan rambut pendek. Pakai tshirt dengan seluar jeans.

Tapi, persoalannya sekarang, siapa yang patut malu sebenarnya? Aku atau dia?

Aku patut malu sebab hulur tangan nak bersalam dengan bukan mahram dan tidak dilayan atau dia yang patut malu sebab cara pemakaiannya membuatkan aku keliru kejantinaan beliau?

Sayang la. Kalau dia tahu hukum bersentuhan dengan bukan mahram itu haram, pasti dia juga tahu hukum tidak menutup aurat itu juga haram. Tapi, masih buat tak tahu hukum yang dia sudah sedia tahu.

Tapi, itulah hakikatnya. Ramai manusia sedar akan dosa yang mereka buat, tapi masih buat tak tahu. Aku juga tak terkecuali.

Muhasabah diri.



SZ: Mujur. Kalau tak, batai ayaq semayang pokcik.

Monday, September 30, 2013

Kenapa Hati Tidak Bahagia?

Sesetengah orang sering merungut:

“Kenapalah dengan aku hari ni, asyik nak terjatuh je”
“Sakit betul la hati tengok muka dia”
“Menyampah betul..asyik dia je yang dapat”
“Hari ini hari malang akulah…”
“Kenapa hari ini rasa macam nak marah orang je”

Kesemua rungutan dan kata-kata di atas menunjukkan hati kita yang tidak bahagia. Selalu ada perasaan sakit hati, dengki dengan orang lain, hidup tidak terurus, selalu rasa susah dan kelam kabut.

Cuba kita semak semula. Adakah perkara-perkara yang kita terlepas pandang?

“Patutlah..solat subuh pukul 7.30 pagi..”
“Patutlah…aku ambil wuduk tadi, main basuh je..tak buat betul-betul”
“Patutlah..aku tak solat subuh”
“Patutlah…aku ni tak pernah menghadap Illahi”
“Patutlah…zakat aku tak bayar lagi”
“Patutlah…Aku keluar rumah tadi, tak salam mak ayah”
“Patutlah…sebelum pergi kerja tadi, aku maki hamun jiran sebab jemur baju kat pagar rumah aku…”
“Patutlah…aku marah kat orang yang minta sedekah tadi”

Kadang-kadang kita tidak perasan dan tidak sedar, ada perkara-perkara kecil yang kita buat menyebabkan hidup kita musnah seharian. Jiwa tidak tenang dan selalu rasa susah hati. Ini kerana kita melakukan dosa-dosa yang dianggap remeh dan kecil sedangkan dosa adalah tetap dosa. Tetap ditulis oleh Malaikat sebagai amalan buruk yang akan dibalas dengan hukuman yang setimpal oleh Allah s.w.t.

Kita tidak sedar, rasa susah hati, jiwa tidak tenang, hidup kelam kabut, kerja selalu tidak menjadi, selalu kena marah adalah sebagai hukuman kepada kita yang memandang remeh kepada setiap dosa yang dilakukan.

TAPI!!! Ada sesetengah orang yang:

Sombong tapi berjaya…
Tak pernah solat, tapi kaya..
Tak pernah bayar zakat, tapi hidup tak sengasara pun..
Tak bersedekah…tapi happy je..

Mereka tidak sedar, nikmat juga merupakan salah satu daripada ujian Allah s.w.t.

Kaya, bahagia, berjaya hanya sementara sahaja bagi mereka yang tidak patuh kepada Allah. Apabila suatu hari Allah tarik kebahagiaan mereka, mereka tiada langsung tempat bergantung kerana Allah telah melupakan mereka kerana mereka lupakan Allah. Melainkan mereka melakukan taubat kepada Allah. 

Bahagiakanlah hati dengan selalu melakukan amal kebaikan dan jaga tutur akhlak. Allah selalu bersama orang yang suka buat baik.

*Perkongsian artikel Ustazah Aida Hartini dalam risalah e-Usuluddin, KUISAS



SZ: Bila hati saya rasa gundah gulana memikirkan sesuatu perkara, saya bisik dalam hati seraya berkata, "Ahh.. Dunia ja semua ni.."

Wednesday, August 21, 2013

Maksud Lambang Helang Pada Bendera Mesir



ADA ORANG CAKAP SIMBOL HELANG PADA BENDERA EGYPT TU AGENDA YAHUDI DAN AMERIKA?

Ok, meh nak bagi sikit info berkenaan logo tu.


1. Lambang negara Mesir adalah helang emas dengan kepala menghadap kanan (sudut pandang helang).

2. Lambang ini disebut "Helang Salahuddin" dengan cakar tengah menggenggam pita tertulis nama rasmi negara Mesir dalam Bahasa Arab: جمهورية مصر العربية, (Jumhūriyyat Miṣr al-ʿArabiyyah) yang bermaksud Republik Arab Mesir.

3. Helang ini mengenakan perisai di dadanya berwarna merah, putih, dan hitam iaitu warna Bendera Mesir, tetapi dalam susunan vertikal, sedangkan dalam bendera Mesir warna disusun secara horizontal.

4. Jika lambang helang ini muncul di atas bendera Mesir, maka warnanya adalah seluruh emas dan putih.

5. Ketika Mesir bersatu dengan Syria dalam Republik Arab Bersatu (1958-1961), dan sepuluh tahun selepasnyanya, Mesir mempertahankan nama rasmi dan dua bintang hijau bendera persatuan Arab muncul di bahagian putih perisai.

6. Pada kurun 1972-1984, Helang Salahuddin digantikan dengan Helang Emas Quraish, sebagai simbol Federasi Republik Arab.

7. Helang sebagai simbol Salahuddin hingga kini masih diperdebatkan oleh arkeologi. Simbol helang ditemukan di tembok barat benteng kota Cairo yang dibangun oleh Salahuddin, sehingga banyak yang menganggapnya sebagai simbol Salahuddin.

8. Lambang Hlang Salahuddin digunakan sebagai simbol gerakan nasionalisme Arab dan muncul dalam Lambang Iraq, Lambang Palestin, dan Lambang Yaman, dan dulu pernah digunakan oleh Libya.

9. Meskipun demikian, helang sebagai simbol sebenarnya bukan hal baru dalam kebudayaan Mesir bahkan sejak zaman Mesir Kuno.



p/s: So, celah mana keyahudian dan keamerikaannya? Ada fakta lain, bawak mai nak tengok.




SZ: Saya boleh bunuh semua helang ketika saya berkuasa. Saya tinggalkan beberapa ekor kepada kamu agar kamu kenal siapa Yahudi dan cari jawapan kenapa saya bunuh helang. lol.

Sunday, August 18, 2013

R4BIA : Maksud Simbol 4 Jari


Mungkin ada di antara kita yang masih tertanya-tanya kenapa ramai pengguna media sosial mula menukar avatar simbol 4 jari seperti di atas dan mula menggunakan hashtag #R4BIA? Apakebenda R4BIA tu?

1. Dalam bahasa Arab, Rabi'ah/arba'ah bermaksud Empat. Rab'ah (angka 4) dijadikan sebagai simbol keteguhan, kekuatan, perlawanan dan persatuan untuk seluruh dunia yang mencintai kebebasan.

2. Simbol 4 jari sebagai simbol untuk mengenang markas demonstran Pro Mursi di Rabi'ah yang telah dihancurkan oleh tentera junta. Simbol 4 jari untuk menunjuk ikon Rabi'ah. 

3. Simbol 4 jari ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayip Erdogan mulai Sabtu semalam (17 Ogos 2013) setelah mengecam keras pembantaian yang dilakukan tentera junta Mesir yang terjadi pada hari Jumat dan Sabtu di Ramses Square dan Masjid Fatih yang dikepung tentera junta.

4. Tujuan avatar simbol #R4BIA dipakai oleh penyokong Morsi di media sosial seperti facebook dan twitter sebagai bentuk solidariti dan kepedulian terhadap apa yang berlaku di Mesir. Selain menimbulkan kesedaran orang ramai supaya lebih cakna mengenai krisis di Mesir sekarang ini.



Berikut antara isi pidato Erdogan dihadapan demnstran pro Mursi di Turki

1. Mereka yang menggulingkan pemerintah sah di Mesir & telah mengabaikan suara rakyat, kini mulai membantai rakyat mereka sendiri.

2. Ribuan warga Mesir berjalan menuju syahid berhadapan dengan tank para pelaku kudeta militer.

3. Anda dapat melihat di kaca tv secara live, seorang rakyat Mesir berdiri di depan tank, tanpa ada batu di tangannya. Tapi dia tetap ditembak.

4. Tidak ada yang membantu pemerintah Mesir saat Morsi berkuasa selama setahun. Baik Barat mahupun negara Teluk Arab.

5. Kini. $16 billion bantuan dikirim segera oleh negara-negara Teluk Arab bagi pemerintah kudeta. Kenapa semunafik itu? Sampai bila?

6. Mereka (negara-negara Teluk Arab) yang mengirim bantuan $ 16 billion kepada pemerintah kudeta di Mesir adalah sekutu kudeta.

7. Jumlah para syuhada yang dibantai kelmarin & hari ini (di Ramses Square) sudah 600 jiwa. Mereka menembak di tempat ibadah selama berminggu-minggu.

8. Mereka membunuh 53 saudara Mesir kami saat mereka melakukan solat subuh. Muslim apakah ini?

9. Mereka tanpa belas kasihan membunuh kanak-kanak, perempuan, dan membakar hospital.

10. Saya mengutuk semua serangan (tentera) terhadap masjid dan gereja.

11. Muslim Brotherhood is protecting churches. But those "well-known Gezi media" (Western media) say 30 churches were burned.

12. They also burned our mosques in Syria and Egypt. Bashar or Sisi, they have no difference.

13. Kekejaman di Mesir mungkin juga dilakukan di negara lain, mungkin "mereka" inginkan kekacauan di Turki juga.

14. Sebab mereka tak ingin Turki digdaya di kawasan ini. Saudara-saudaraku, kita akan gagalkan semua rencana itu dengan kesabaran.

15. Mari do'akan Syria & Mesir. 100000 rakyat Syria juga telah dibunuh kejam pemerintah diktator mereka.

sumber: Mesir Kini





SZ: Pejuang DP bermusim? Yang penting, niat. Bukan hanya ikut-ikutan.

Saturday, August 17, 2013

Konflik Mesir : Fakta Penting dan Punca Pergolakan Berlaku


Berikut saya kongsikan beberapa fakta penting berkaitan krisis pergolakan yang sedang berlaku di Mesir sekarang ini, untuk tatapan dan pengetahuan anda semua.


Fakta 1

Penglibatan tentera dalam mencorakkan sejarah Mesir moden bukanlah sesuatu yang baharu. Raja Farouk, monarki terakhir dalam sejarah Mesir telah digulingkan oleh Muhammad Naguib dan Jamal Abdul Nassir, kedua-duanya merupakan pegawai tentera. Muhammad Naguib, yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Mesir, digulingkan pula oleh Jamal Abdul Nassir setelah hanya setahun memerintah!

Pemerintahan tentera ke atas Mesir disambung oleh Anwar Sadat yang kemudiannya mati dibunuh oleh para pegawai tenteranya sendiri pada tahun 1981. Anwar Sadat kemudiannya digantikan oleh Hosni Mubarak yang memerintah Mesir sehinggalah awal tahun 2011, apabila dia dijatuhkan menerusi Revolusi Musim Bunga rakyat Mesir.

Sepanjang tempoh pemerintahan Jamal Abdul Nassir sehinggalah Hosni Mubarak, perintah darurat yang memberikan kuasa mutlak kepada pihak tentera dikuatkuasakan; kira-kira 44 tahun lamanya!


Fakta 2

Pergolakan yang sedang berlaku di Mesir pada hari ini adalah kesan langsung daripada rampasan kuasa oleh pihak tentera, yang diketuai oleh Jeneral Abdul Fatah as-Sisi ke atas Presiden Muhammad Mursi yang digulingkan pada 3 Julai 2013 yang lalu. Sebagai tindak balas, para penyokong Presiden Mursi mengadakan protes dan tunjuk perasaan secara aman di seluruh Mesir, namun fokusnya adalah di Kaherah (Cairo), Mesir.

Penggulingan Presiden Mursi dilihat oleh banyak pihak sebagai haram dan tidak sah, sementelah beliau telah memenangi pilihan raya Mesir secara adil dan saksama, apabila memperoleh lebih 51% daripada undi rakyat Mesir. Ironinya, mereka yang mengadakan demostrasi untuk menjatuhkan Presiden Mursi adalah mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang demokrasi.


Fakta 3

Bercakap tentang pilihan raya parlimen Mesir yang buat julung-julung kalinya diadakan secara telus dan adil apabila hampir-hampir tiada penglibatan pihak tentera dan penipuan oleh pihak pemerintah, parti Al-Hurriyah wal 'Adalah (Freedom and Justice Party) yang merupakan sayap politik kepada Ikhwanul Muslimin, telah menang besar apabila memperoleh 37.5% daripada jumlah undi, diikuti oleh Parti Salafi an-Nur (27.8%) dan Parti al-Wafd (9.2%). Kedua-dua FJP dan an-Nur merupakan parti yang berasaskan ideologi Islami; maka secara tidak langsung parlimen Mesir telah didominasi oleh mereka yang mahu memperjuangkan Islam. Hal ini jelas memberi ancaman kepada golongan liberal di Mesir.

Pada mulanya FJP tidak berhasrat untuk menghantar wakil bagi bertanding jawatan Presiden, kerana bukan itu yang mereka mahukan. Namun setelah melihat mudharat andai mereka tidak bertanding, dan maslahat yang lebih besar yang perlu dipertahankan, mereka memutuskan untuk menghantar Khairat Shatir untuk bertanding jawatan tersebut.

Namun atas masalah teknikal yang remeh dan kecil, penamaan Khairat Shatir sebagai calon Presiden terpaksa dibatalkan. Muhammad Mursi yang ketika itu merupakan Presiden FJP telah dihantar sebagai pengganti. Beliau menang dalam pilihan raya Presiden tersebut secara rasminya pada 24 Jun 2012 dan menjadi Presiden Mesir pertama yang dilantik secara undian demokrasi.


Fakta 4

Antara yang mendalangi demonstrasi dan tunjuk perasaan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Presiden Mursi termasuklah Muhammad el-Baradei, Amr Moussa, Hamdeen Sabahi dan Hisham Bastawisy, hampir kesemuanya calon yang kalah dalam pilihan raya Presiden Mesir.

Terdapat dakwaan daripada Ikhwanul Muslimin betapa el-Baradei dan konco-konconya bersekongkol dengan kerajaan Zionis Israel dan Amerika Syarikat dalam merencana kekacauan dan haru-biru di Mesir, sehingga akhirnya membawa kepada penggulingan Presiden Mursi.

El-Baradei telah dilantik sebagai Naib Presiden baru bagi kerajaan sementara Mesir; itu pon setelah dibantah oleh ramai pihak kerana tidak bersetuju dengan cadangan untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Terbaru, El-Baradei telah pon meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak bersetuju dengan tindakan tentera Mesir membunuh para penunjuk perasaan di Medan Rabaah dan kawasan sekitarnya.


Fakta 5
Telah terdedah rahsia penglibatan Amerika Syarikat, Israel dan musuh-musuh Islam yang lainnya dalam merencana kejatuhan Presiden Mursi dan penguasaan FJP dalam parlimen Mesir.

Pergerakan Tamarrud, yakni nama yang diberikan kepada para penunjuk perasaan penentang Presiden Mursi telah terbukti menerima pembiayaan daripada Amerika Syarikat. Pendedahan ini ada dilaporkan di al-Jazeera.

Antara tindakan pertama yang dilakukan oleh kerajaan sementara pimpinan Presiden Adly Mansour adalah dengan menutup sempadan Rafah, yang sebelum ini telah dibuka oleh Presiden Mursi. Sempadan ini menjadi penghubung penting rakyat Palestin dalam mendapatkan bekalan asasi harian. Penutupan ini jelas memperlihat persengkokolan yang berlaku antara Israel dan kerajaan Mesir yang baru.


Fakta 6

Negara-negara Arab juga ada yang terlibat dalam konspirasi jijik menjatuhkan Presiden Mursi. Sebaik sahaja Adly Mansour dilantik sebagai Presiden baru bagi kerajaan sementara Mesir, Arab Saudi adalah antara negara yang terawal yang menghantar perucapan tahniah.

Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu masing-masing menyalurkan bantuan kewangan bernilai bilionan dolar Amerika usai kudeta yang menjatuhkan Presiden Mursi. Negara-negara ini sememangnya terkenal memusuhi Ikhwanul Muslimin, kerana takutkan kepada ideologi yang dibawa oleh mereka.

Sementara itu, dua negara yang paling lantang menyatakan bantahan dan protes mereka terhadap rampasa kuasa haram tersebut adalah Tunisia dan Turki. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan tidak mengiktiraf kerajaan sementara pimpinan Adly Mansour dan menuntut agar Presiden Mursi dibebaskan dan dikembalikan kepada kedudukannya yang asal.


Fakta 7

Pada 3 Julai 2013, Jeneral Abdul Fatah as-Sisi mengumumkan di televisyen nasional Mesir bahawa pihak tentera telah mengambil alih kuasa daripada Presiden Mursi kerana kegagalan beliau memenuhi beberapa tuntutan oleh pihak Tamarrud dan ultimatum yang telah diberikan oleh pihak tentera. Presiden Mursi telah dikenakan tahanan di suatu tempat rahsia yang sehingga kini tiada siapa tahu lokasi sebenarnya, melaikan pihak tentera.

Siapa dia as-Sisi? Dia telah dilantik sendiri oleh Presiden Mursi untuk menggantikan Muhammad Hussein Tantawi sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir yang baharu. Dia dilihat sebagai moderat dengan pegangan agama yang kuat; calon yang paling sesuai untuk menggantikan rejim Mubarak yang lama. Siapa sangka, dialah yang menjadi dalang utama dalam menjatuhkan bos besarnya sendiri.

Selepas melantik Adly Mansour sebagai Presiden bagi kerajaan sementara, as-Sisi melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Pertahanan yang baru, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Jeneral Abdul Fatah as-Sisi

Fakta 8

Apa/Siapa itu Ikhwanul Muslimin?

Ikhwanul Muslimin merupakan suatu pergerakan dakwah yang telah diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928, sebagai tindakan langsung daripada kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Sejarah pergerakan ini sangat panjang dan berwarna-warni; cukuplah saya merumuskan sejarah Mesir moden terlalu banyak dipengaruhi oleh pergerakan ini.

Perbalahan yang berlaku antara pihak tentera dan Ikhwanul Muslimin sememangnya diketahui umum. Ahli-ahli IM telah ditangkap, dihumban ke dalam penjara dan diseksa dalam jumlah yang pukal pada zaman Jamal Abdul Nassir, sehingga dianggarkan jutaan ahli IM ditangkap di seluruh Mesir. Ramai daripada mereka dibebaskan pada zaman Anwar Sadat, kemudian ditangkap dan sekali lagi dihumban ke dalam penjara ketika era Hosni Mubarak. Antara tokoh-tokoh besar IM yang mati di tangan pihak pemerintah diktator termasuklah Sayyid Qutb, Abdul Qadir Audah dan Syaikh al-Faraghli.

Semenjak itu, IM diharamkan daripada bergiat aktif, apatah lagi dalam arena politik kerana pihak pemerintah melihat mereka sebagai ancaman besar. Namun ahli-ahli IM terus bergiat aktif dalam masyarakat dengan berselindung di sebalik nama persatuan atau badan yang lain.

Kepopularan dan pengaruh IM dalam kalangan masyarakat amat ketara apabila akhirnya mereka dibenarkan bertanding dalam pilihanraya Mesir usai kejatuhan Mubarak, mereka menang mudah di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan luar bandar. Selain itu, kebangkitan rakyat menentang penggulingan Presiden Mursi yang melibatkan jutaan rakyat Mesir juga menggambarkan sokongan padu rakyat terhadap pergerakan yang hampir mencecah usia 100 tahun itu.

Sehingga kini, IM memainkan peranan yang penting dan aktif dalam mencorakkan sosia- politik dan -ekonomi rakyat Mesir.


Fakta 9

Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas para penunjuk perasaan bermula 14 Ogos 2013 apabila pihak tentera nekad untuk mengosongkan Medan Rabaah, Medan al-Nahda dan Medan Mustafa Mahmud di Giza daripada para penyokong letigimasi Presiden Mursi. Sebelum ini sudah pon berlaku persitiwa Subuh berdarah, apabila sebahagian penyokong Mursi ditembak oleh pembidik tepat ketika mereka sedang bersolat Subuh pada pagi 8 Julai 2013.

Namun, pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada 14 Ogos lebih melampau dan zalim lagi. Bukan setakat rakyat dibunuh, masjid dibakar, mayat para syuhada' dibakar dan ada yang dilanggar oleh jentolak hidup-hidup! Jumlah kematian yang dicatatkan berbeza-beza mengikut sumber; tetapi angka kematian tertinggi yang dilaporkan adalah lebih daripada 2,200 nyawa. Hal ini jelas merupakan kezaliman melampau, apatah lagi di dilakukan oleh rakyat Mesir sendiri terhadap saudara-saudara mereka. Malah, ada yang menyifatkan tindakan pihak tentera yang didalangi oleh Amerika dan Israel ini, lebih dahsyat dan keji daripada pembunuhan Bashar al-Assad terhadap rakyatnya dan kezaliman kerajaan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Tindakan mereka ini jelas melanggar semua nilai-nilai kemanusiaan yang ada.

Reaksi dunia, seperti biasa dan sudah boleh dijangka, hanya mampu untuk mengutuk tindakan zalim as-Sisi dan anjing-anjingnya. Malah Amerika sendiri, yang tangan mereka jelas berlumur dengan kekotoran kerana terlibat sama dalam konspirasi menjatuhkan Mursi, penuh kepura-puraan mengutuk tindakan tentera ke atas rakyat Mesir.


Fakta 10

Perlu juga disebutkan di sini, apakah sebabnya Presiden Mursi digulingkan? Atau apakah alasan yang digunakan oleh golongan Tamarrud dan pihak tentera untuk menjatuhkan Presiden Mursi?

Mereka mendakwa Presiden Mursi telah gagal dalam mengotakan janji-janjinya di awal pelantikannya sebagai Presiden Mesir. Presiden Mursi juga telah gagal memulihkan keadaan ekonomi Mesir yang runcing, di samping beberapa faktor politik, ekonomi dan sosial yang lain, termasuklah peluang pekerjaan, polis yang menzalimi para penunjuk perasaan dan sebagainya.

Itu adalah alasan yang mereka gunakan.

Hakikatnya, tidak munasabah untuk Presiden Mursi memulihkan sepenuhnya keadaan Mesir yang telah hampir binasa dan rosak dari pelbagai aspek pasca pemerintahan rejim Hosni Mubarak yang puluhan tahun lamanya itu, dalam masa setahun. Mursi memerlukan kuasa magis untuk menjadikan Mesir sebuah negara yang aman dan makmur dalam sekelip mata.

Namun, 'dosa-dosa' Presiden Mursi yang paling besar, yang benar-benar menyebabkan musuh-musuhnya tidak puas hati termasuklah:

-Meningkatkan produktiviti gandum kepada 60% dari 20%
-Membangunkan kilang-kilang industri seperti elektronik, senjata dan kereta, yang memberi peluang pekerjaan dan mengurangkan pergantungan rakyat Mesir kepada import dari luar
-Memberi kebebasan kepada media, sehingga pada tahap mereka tanpa segan silu mencacinya hampir setiap hari. Namun beliau kool sahaja dan sabar menghadapinya (kalau zaman Mubarak dahulu konfem si editor dah kena humban masuk penjara!)
-Hafaz al-Quran dan selalu bersolat jemaah dan menjadi imam di masjid
-Tidak mahu tinggal di istana Presiden dan menolak untuk dilindungi oleh para pengawal peribadi
-Menyokong perjuangan Palestin, Syria dan Myanmar, antaranya dengan membuka sempadan Rafah untuk kemudahan rakyat Palestin
-Membebaskan pemerintahan kerajaan Mesir dari cengkaman tentera
...dan lain-lain lagi.
[Sumber: bersamadakwah.com]

Inilah faktor sebenar mengapa beliau dijatuhkan. Faktor sebenar mengapa Presiden Mursi digulingkan adalah kerana beliau membawa syiar Islam ke dalam pemerintahannya. Ia adil, saksama, amanah, bersih dan bijaksana. Mana mungkin taghut dan jahiliyyah boleh duduk diam dengan pemimpin sebegini rupa; jika mereka biarkan Mursi dan ikhwan terus membawa perubahan berteraskan Islam di Mesir, mereka tahu yang kegemilangan Islam pasti akan kembali semula. Maka mereka mula menanam makar-makar jahat dan keji, untuk menjatuhkan Mursi.


Sekarang anda sudah tahu sedikit sebanyak apa yang berlaku di Mesir walaupun ia hanya gambaran kasar terhadap apa yang berlaku.

Tidak mustahil pergolakan di Mesir akan berlarutan dan berpanjangan sehingga membawa kepada peperangan saudara. Na'udzubillah. Sekiranya itu berlaku, ia bakal menjadi lebih teruk dan mengerikan daripada apa yang berlaku di Syria; sekurang-kurangnya di Syria jelas sekali ia adalah perbalahan antara puak Syiah dan Sunni, sedangkan apa yang berlaku di Mesir adalah saudara sesama pegangan dan aqidah.

#PrayForEgypt


*Artikel ini adalah ringkasan dan perkongsian dari sumber asal: Angel Pakai Gucci
*Untuk terjemahan dalam Bahasa Inggeris: realjeet.blogspot.com




SZ: Bila kita menaip perkataan #PrayForEgypt, adakah kita benar-benar berdoa atau hanya sekadar menaip? Tanya diri sendiri.

Wednesday, August 7, 2013

Puasa dan Raya Terakhir Sebagai Bujang?


"Tahun ni, last aku puasa dan beraya sebagai seorang jejaka bujang.
Next year dengan bini pulak. Hoyeah!"


Ok, itu sebenarnya status facebook ketika bulan puasa tahun 2011. Sekarang dah tahun 2013, tapi aku masih lagi bujang tegar trang tang tang ting tong. Nampak tak betapa perancangan Allah SWT itu lebih hebat. Jika Dia tak izinkan jodoh aku sampai, maka tidak akan sampailah ia walau aku berusaha sehabis daya sekalipun.

Ala.. Lagipun waktu tu memang tengah excited nak menikah walaupun calon masih samar. Memang bajet nak bercinta lepas nikah je masa tu. Asalkan kahwin. Tapi sekarang, aku rasa macam dah melepasi zon desperate mencari rusuk kiri tu. Yela.. Bila dah start sibukkan diri sekarang ni, memang tak terasa sangat kesunyian tu. Tambahan perasaan aku pernah diperkotak-katik, rasa macam dah tawar hati nak fikir pasal tu. Eceh.. Poyolah kau. Kadang-kadang ja kalau hangpa nampak aku dok berjiwang tu, aku tengah lepaskan perasaan sunyi la tu.

InsyaAllah, pencarian akan diteruskan. Haha.. Sejujurnya, aku pun tidak pasti siapa sebenarnya jodoh aku. Seperti aku katakan tadi, perancangan Allah itu lebih hebat. Sedangkan yang bertunang pun boleh putus malah ada pasangan yang sudah mahu akad nikah besok hari pun, boleh batalkan majlis. Kun Fayakun. Allah kata jadi, maka jadilah ia. Doakan saja yang terbaik.

Jadi, di kesempatan ini aku nak buat ucapan la sikit. Nak berpantun, dah biasa orang buat. Nak upload gambar ketupat, lemang segala bagai pun dah biasa sangat. Nak edit taruk gambar sendiri, tak sempat. Tambahan aku ni pemalu. Miow. So, juz nak ucap,

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin. Maafkan segala dosa aku kat hangpa semua. Aku sentiasa maafkan hangpa. Aku malas nak heret dosa sesama manusia ke mahkamah akhirat. Leceh. Dosa sama Tuhan pun dah berbakul nak kena tanggung nanti. So, kira setel la k. :-)




SZ: Makin tua ni, makin kurang feel nak beraya. Ada anak, syok jugak. :3

Monday, July 29, 2013

Tips Nak Handle Rasa Sedih Bila Tengah Frust Menonggeng

Mungkin kau dan aku, terlalu berbeza..
Cintamu di hati, hanya sandiwara..
Kata dan janjimu, mudah kau persia..
Di balik senyum aku sengsara..

Kebanyakkan kita kalau tengah frust bercinta, mesti nak melayan lagu jiwang ja 24jam kan. Kadang-kadang tu keluar drive kereta tanpa arah tujuan sambil buka radio feeling sorang-sorang dengar bait-bait lirik yang kononnya kena dengan masalah hangpa masa tu.

Siksanya mengakui kau teman biasa.. 
Terpaksa ku terima itu hakikatnya..

Tinggalkanku, perlahan-lahanku terima..
Semakinku sakit, semakin kau bahgia..

*Creetttt.. Creetttt..*
(Bunyi kaset lekat. Err.. Gitu ke bunyinya?)




Amboih! Kemain kau feeling kan. Meh sini aku nak bagi tips sikit cara nak handle perasaan hangpa bila tengah frust bercinta.

1. Jangan dengar lagu-lagu jiwang. Nanti lagi bertambah kesedihan di hati tu. Budak tengah nangis, kau pergi tampar dia, lagi kuat la dia meraung sakit. Macam tu jugak dengan hati kita yang terluka. Yang pergi tabur garam dengan perah limau atas luka tu, lagi la pedih oi.

Cuba taruk plaster kat hati yang terluka tu. Dengarlah lagu-lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan islamik sikit. Sedikit sebanyak jadi penawar hati. Contohnya, kau dengar lagu zikir taubat ke. InsyaAllah akan rasa tenang je jiwa tu. Ataupun dengar lagu Negaraku ke, lagu kebangsaan Nigeria ke. Asalkan bukan lagu tangkap leleh macam New Boyz dan Anuar Zain. Blerghhh...


2. Kau baca berita dan ambil tahu mengenai penderitaan orang lain. Contohnya kisah saudara seIslam yang ditindas di Palestin, Syria dan lain-lain yang berkenaan. Selami perasaan dan hayati kesusahan dan kesengsaraan hidup mereka. Kau rasa diorang ada masa nak bercinta feeling-feeling bagai? Kau rasa diorang ada masa nak baring dengar lagu-lagu jiwang tu. Hari-hari dengar bunyi letupan je. Diorang kahwin pun sebab nak lahirkan lebih ramai para mujahid. Alahai.. Penderitaan yang diorang lalui lebih menyayat hati la dari kisah cinta kau tu.


3. Istighfar banyak-banyak. Bisik dalam hati, cakap "Dunia ja semua ni. Tak payah nak frust sangat sebab manusia. Nanti mati jugak natang tu." Ok, kurang sopan sebut natang. Ya, lebih baik kita kejar kebahagiaan di akhirat nanti. Dah dia bukan jodoh kita kat dunia ni, nak buat macam mana. Ajal maut dan jodoh kan di tangan Tuhan. Tu kan qada dan qadar. Redha je la. Takkan nak salahkan Tuhan.

Dekatkan diri dengan Tuhan. Bukannya terus jauh dengan Tuhan. Banyakkan solat sunat, berdoa, berzikir, dan baca Al-Quran. InsyaAllah hati kau akan rasa tenang je bila bercinta dengan Tuhan. Sebab Allah takkan pernah sesekali bagi harapan palsu dan kecewakan hamba-Nya. Allah kan Maha Mencintai. Jadilah orang yang soleh dan solehah. InsyaAllah jodoh yang lebih baik akan datang bergolek. Bersangka baik dengan Allah.


4. Jangan menyendiri. Kadang-kadang bila menyendiri akan menjerumuskan kau buat benda-benda bodoh. Keluar bersosial dengan kawan-kawan. Buat aktiviti yang lebih berfaedah daripada melayan perasaan sedih tu. Keluar bermain futsal, mendaki Bukit Broga dan menangkap rama-rama misalnya. Keluar hayati keindahan alam. Jangan keluar merempit atau pergi konsert Metalicca plak. Atau kau sibukkan diri dengan kerjaya.


5. Last sekali, kau buka blog aku. Kau ulang baca tips ni. Jika kau seorang gadis, bisik dalam hati, "Owner blog ni belum kahwin." Sekurang-kurangnya kau akan rasa, rupanya masih ada lelaki single kacak di dunia ni. Jadi, tanpa melengahkan masa, cepat-cepatlah isi borang di SINI!


Sekian dari saya, Dr Love anda. Choy~~




SZ: Aku faham. Its really hurttttt.. But, rilek brader, brader rilek. Play safe.

Monday, July 22, 2013

Jangan Swastakan Kebaikan

Selalu kan kita dengar ayat-ayat yang lebih kurang begini bunyinya...

"Bulan puasa ni, tak baik menipu."

"Hari jumaat ni, tak baik mengumpat orang."

"Dah macam ustazah je aku tengok bila kau pakai tudung."

"Berjubah berserban, dah macam tabligh."

"Kat Mekah ni, tunjuklah akhlak yang baik."


Errr.. Adakah selain bulan puasa, menipu itu baik? Selain hari jumaat kita boleh mengumpat? Peguam, kerani bank, selebriti, makcik cleaner tak perlu tutup aurat? Jubah dan serban itu uniform eksklusif untuk jemaah tabligh sahaja? Keluar dari tanah haram kita boleh amalkan akhlak yang buruk?

Adakah dosa hanya berbuah pada bulan Ramadhan? Adakah malaikat Raqib dan Atid bercuti pada hari Jumaat? Adakah menutup aurat hanya diwajibkan untuk golongan ustazah? Bukankah jubah dan serban itu pakaian sunnah Rasulullah? Adakah Allah hanya ada di Mekah dan Madinah?


Ehem. Apakata.. Ye, apakata kita...

Jangan swastakan kebaikan pada mana-mana bulan, mana-mana hari, mana-mana jemaah, mana-mana pangkat atau bidang, dan mana-mana tempat sekalipun.

Nak jadi taat, kena tunggu Ramadhan.

Nak jadi baik, kena tunggu Jumaat.

Nak ikut sunnah nabi, kena masuk tabligh.

Nak pakai tudung labuh, kena jadi ustazah.

Memang tak dinafikan semua itu boleh dijadikan modal permulaan untuk kita jadi lebih baik.

Memang bagus bila ada yang niat mahu khatam Al-Quran dalam masa sebulan di bulan Ramadhan, sentiasa bersujud di sejadah, dan mula bertudung menutup aurat. Tapi yang tak bagusnya, bila menjelang Syawal, Al-Quran kembali berhabuk di rak, sejadah jadi alas iron baju, tudung mula jadi kain buruk.

Tunggu Ramadhan tahun depan pulak baru nak start insaf dan jadi baik semula?


Yang sebaiknya,

Jadilah hamba Allah yang bersifat Rabbani. Jangan jadi hamba yang ramadhoni, makki dan madani. Yang taat kepada Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja, jadi telus ketika ketika berada di Mekah sahaja atau jadi baik kerana berada di Madinah. Jadi baik berjuzuk, berwaktu, bertempat.

Jangan swastakan kebaikan. Dosa pahala bukan bermusim. Allah itu sentiasa ada setiap masa dan ketika di mana sahaja. Muhasabah diri.

Fafirru Ilallah.. Berlari pulang kepada Allah.




SZ: Aku juga. Konon nampak baik di sini. Hakikatnya masih mencari ruang keluar dari kegelapan dan kejahilan.

Thursday, July 18, 2013

Bayangkan Jika Perempuan Dibenarkan Poligami



Topik hot di facebook hari ini. Poligami.

Ramai yang melahirkan rasa terkilan terutamanya kaum hawa apabila mendengar berita Ashraf Muslim berkahwin lagi satu di Thailand. Sehinggakan aku yang seiras Ashraf Muslim turun merasa tempias kecaman tersebut. Ok. Sila jangan muntah dengan sengaja di siang hari. Batal puasa.

Terbaca satu nukilan luahan hati Noor Dayana, isteri pertama Ashraf Muslim yang mungkin agak kecewa dengan tindakan suaminya. Aku tertarik pada rangkap berikut:

Sucinya aku, kau miliki ketika di Makkah
Hebatnya dia, kau sembunyikan ketika di Thailand.


Agak pedih dan menusuk di situ.

Memang poligami tu tak haram. Tapi, cara tu mungkin agak tak kena. Tambahan majoriti perempuan tidak suka dimadukan. Apatah lagi dengan cara begitu. Terasa seperti ditipu dan dikhianati.

Ok. Kepada para suami dan bakal suami sekalian. Meh kita semua pakat-pakat bayangkan. Andaikata perempuan dibenarkan poligami. Apa agaknya perasaan lelaki terpaksa bermadu berkongsi isteri dengan lelaki lain?

Ohoi! Tobat aku tak mau. Tengok orang yang aku minat mention nama laki lain kat facebook pun jeles nak mampoih dah. Tu baru crush. Tak jadi bini atau awek lagi. Ini tiba-tiba kalau dapat berita bini kita kawen lagi satu kat Siam. Gila. Mesti menyirap punya la.

Ok. Kita masuk sikit hal dalam kelambu. Bayangkan malam tu giliran madu kita bersama dengan isteri kita. Tiba giliran kita tidur sorang-sorang dalam bilik malam tu. Mesti rasa sunyi tak ada 'bantal peluk'. Mesti terbayang-bayang, apa agaknya isteri aku tengah dok buat dengan madu aku tu. Ohoi. Bayangkan kita terpaksa kongsi isteri? Bayangkan! Mampukah kita? Kalau wanita sampai boleh gaduh tarik rambut. Silap haribulan kita boleh bertumbuk beb dalam hal ni. Haha.

Di sini, aku bukannya nak pertikai pasal poligami. Aku pun tahu tak boleh pertikai sesuatu yang menjadi sunnah Nabi dan dibenarkan dalam Islam. Aku pun tahu antara hikmah perempuan tidak dibenarkan berpoligami sebab nanti kita tak dapat nak trace anak dalam kandungan tu nak ber'bin'kan suami yang mana.

Tapi sekadar ingin mengajak kaum lelaki sekalian menyelami perasaan wanita andai kita di tempat mereka. Jangan kemaruk nak pasang lagi satu sehingga mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira hati dan perasaan mereka.

Dan sebelum kita kata mahu berpoligami kerana ingin mengikut sunnah Nabi, adakah sunnah Baginda yang lain kita dah laksanakan? Adakah yang wajib sudah ditunaikan? Dan pernahkah kita terfikir, kenapa Nabi berpoligami? Sila baca Kenapa Nabi Muhammad Boleh Berpoligami Lebih Dari Empat Isteri?

Kalau kau rasa kau mampu berlaku adil terhadap isteri-isteri kau. Kalau kau rasa isteri kau sememangnya mengimpikan payung emas, teruskan niat kau nak berpoligami itu. Tiada siapa menghalang. Sesungguhnya kau insan bertuah. Dan kepada wanita yang tidak suka poligami, jangan pertikai lebih-lebih pasal poligami. Takut lari akidah. Bahaya.

Sekian, dari saya pejuang hak wanita. Jodoh-jodoh sekalian, sila undi saya sebagai calon suami pilihan. Kehkehkeh..


p/s: Apa-apapun, doakan yang terbaik sudahla buat mereka. Tap payah nak emo dan kutuk lebih-lebih. Jadikan sebagai pengajaran.


SZ: Dengan serius aku nyatakan, aku tak berhajat nak madukan isteri aku nanti. InsyaAllah.. Aku ni pesen setia teghok kalau dah betoi sayang. Cewah.. Up saham. Up saham. lol.

Wednesday, March 20, 2013

Ayat-Ayat Penyedap Hati Bila Kantoi SPM

Tahniah kepada adik-adik SPM yang bakal berjaya memperoleh result yang cemerlang dalam SPM. Dan takziah diucapkan buat yang bakal gagal. Bak kata Ustazah Siti Nor Bahyah, "anda buat, anda dapat". Tapi, jangan risau. Ini abam ada senaraikan ayat-ayat penyedap hati buat adik-adik yang resultnya kurang cemerlang dan tidak lupa juga buat yang kantoi hancur lebur resultnya. Juga boleh digunakan sebagai alasan untuk menyedapkan hati sendiri atau member-member, nak cover malu dan bagi menggalakkan pelempang hinggap di muka.

Selamat mencuba!


**************************

1. "Insan yang cemerlang datangnya dari akal, jiwa yang tenang, jiwa yang mantap. Bukannya SPM!" -Dr Fadzilah Kamtumi.

2. Aku baca buku "if you want to be rich and happy, don't go to school".

3. Idola aku Syed Mukhtar Al-Bukhari, Bill Gates, dan Boon Siew. Diorang tak pandai pun boleh kaya.

Who's the boss?

4. Neil Amstrong tak ambik SPM pun steady ja dia pi bulan. Albert Einstein ada ambik SPM? Takde kan?

5. Kalau semua orang cemerlang SPM, siapa nak kerja kilang, Tesco, Giant, jadi nelayan, buruh, penoreh getah, driver lori, mekanik?

6. Walaupun IQ aku rendah, tapi EQ aku bagus. Kemahiran lebih penting la.

7. Apa ada hal? SPM boleh di'repeat' seberapa banyak yang kau nak. Paper Julai pun ada.

8. Result SPM teruk pun boleh masuk ipt la sekarang ni. U bersepah kat Malaysia ni. Swasta lagi ler berlambak.

9. Biasanya yang SPM kantoi tu lah yang akan skor cemerlang pointer CGPA kat ipt nanti.

10. Aku belajar ikhlas. Bukan semata-mata kerana nak exam. Sengaja aku pura-pura gagal sebagai bukti keiikhlasan aku.

11. Aku sengaja taknak dapat result cantik. Aku taknak kena culture shock kat U nanti. Terutamanya kalau belajar kat oversea macam..... (if you know who i mean)

12. Takpe. Yang penting ada rupa, ada bakat. Boleh jadi artis. Boleh jadi popular walaupun SPM hampeh. Nak masuk Mentor, Pilih Kasih, Raja Lawak tu bukannya diorang mintak sijil SPM pun.

13. Ramli tu tak skor 9A macam anak jiran sebelah pun boleh skor gol untuk Manchester United. Baik aku jadi football player je. Kaya hape. Boleh kahwin dengan retis lagi.

14. Perempuan takpe takde SPM pun. Besok-besok ada la tu orang masuk minang.

15. Bukan boleh bawak masuk kubur pun sijil SPM tu. SPM tu duniawi semata-mata. Yang penting sebenarnya Soalan Padang Mahsyar (SPM jugak).

16. Masuk je sekolah pondok. Jadi Huffaz, hafal Al-Quran. Tak pun ambik STAM, boleh pergi Mesir.

17. Jadi orang yang berjaya tapi tak berguna pun tak boleh pakai jugak.

18. SPM bukanlah penentu masa depan. Tapi, anda sendiri yang menentukan masa depan anda.

19. Spm is something. Not everything. Gagal sekali bukan gagal selamanya. Jadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk menjana yang negatif to positif.

20. Lagi? Ada lagi nak tambah?


p/s: Ini adalah entry repost yang tahun lepas punya. Itulah antara ayat-ayat penyedap hati yang sentiasa kedengaran bila result SPM keluar. Yang baik, jadikan motivasi. Yang loyar buruk tu, tak payah praktik. Heheh.




SZ : Sijil yang paling berharga adalah diri anda.

Monday, March 18, 2013

Lelaki Berjanggut dan Berjambang Lebih Awesome

Bagi sesiapa yang mengenali aku, aku sekarang ni tampil dengan imej baru. Berjambang. Aku juga sekarang ini tengah ciwi dan poyo menjaja jambang aku yang mengundang rasa cemburu lelaki yang tidak mempunyai hormon jambang dan beberapa wanita yang berkeinginan berjambang. Antara kritikan yang aku terima dengan imej terbaru ni ialah, macam wolverine, macho (ehem2..), nampak gangster, serabut tak terurus, nampak alim, macam pak arab, pakistan, tak ada duit nak beli shaver, sibuk sampai tak sempat bercukur dan pelbagai lagi persepsi dari segenap lapisan masyarakat.



Sebenarnya, aku menyimpan jambang bukan sekadar fesyen dan menukar imej semata-mata. Nak tahu apa kelebihan lelaki berjanggut dan berjambang berbanding mat-mat jambu?


1. Sunnah

Berjanggut dan berjambang amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh para sahabat, para tabiin dan Salaf as-Soleh. Rasulullah saw telah menegah para sahabatnya daripada mencukur janggut dengan beberapa alasan. Baginda telah mengisyaratkan setiap lelaki beriman supaya memelihara janggut atau jambang mereka. Terdapat banyak hadis sahih mengenai saranan tersebut.

Sabda Rasulullah SAW, ”Cukurlah kumis dan peliharalah janggut.” (HR. Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:- "Di antara fitrah Islam ialah mengerat misai dan memanjangkan janggut kerana sesungguhnya orang-orang Majusi memanjangkan misai mereka dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada mereka dengan mengerat misai kamu dan memanjangkan janggut-janggut kamu” (Ibnu Hibban)


2. Malaikat Menadah Air Wuduk Yang Jatuh Dari Janggut

Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang sahabat yang berjanggut nipis atau jarang-jarang sekadar sehelai dua. Semasa beliau mengambil wuduk untuk bersembahyang di masjid, Rasulullah tersenyum dan memalingkan mukanya.

Sahabat itu pun merasa hairan dan dia menyangka Rasulullah s.a.w. senyum kerana janggutnya yang nipis itu dan memalingkan mukanya kerana tidak suka kepada janggutnya yang jarang itu.

Keesokkan harinya sahabat lelaki tersebut datang ke masjid setelah mencukur janggutnya. Apabila terserempak dengan Rasulullah s.a.w, lelaki itu melemparkan senyuman tetapi Rasulullah tidak memandang langsung kepada lelaki tersebut.

Bertambah hairanlah beliau lalu diajukan pertanyaan kepada Baginda.

“Wahai Rasulullah mengapa hari ini kamu tidak senyum kepadaku seperti sebelum ini?”

Lalu Baginda menjawab..

” Sebelum ini aku nampak malaikat berebut-rebut untuk menadah air wuduk yang jatuh dari janggutmu tetapi apabila kamu mencukur janggutmu tidak ada lagi malaikat yang menunggu dijanggutmu wahai sahabat”.


3. Membelai Janggut Lelaki Dapat Menyuburkan Wanita

Dr Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan, pemilik rangkaian klinik juga seorang pendakwah, dalam satu ceramah, mendedahkan hasil kajian yang sangat luar biasa mengenai khasiat janggut. Ia bukan tunggul gerigis, bukan penyeri atau penyerabut wajah tetapi jauh lebih hebat daripada itu.

Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul The Amazing Fact of Human Body mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita. Subhanallah!

Caranya bagaimana? Hanya melalui sentuhan. Jadi kepada sesiapa yang belum punya anak kerana ada masalah kesuburan, ataupun jarang bersama dan mahu dirapatkan lagi, mintalah suami simpan janggut, dan belailah selalu janggut suamimu itu.

Kajian terhadap janggut menyerlahkan satu lagi bukti saintifik tentang apa yang disunnahkan oleh Nabi kita sejak lebih seribu tahun dahulu.


4. Menyerlahkan Sifat Kelakian

Responden yang ditemui menyifatkan lelaki dengan jambang pendek sebagai gagah, matang, agresif, menonjol, sasa, seksi dan lebih menyerlahkan sifat kelakiannya. Lelaki dari kategori ini dianggap paling sesuai dijadikan pasangan romantik. Hasil kajian itu dijalankan ke atas wanita Britain berusia 18 hingga 44 tahun, mungkin menjelaskan tarikan yang dimiliki selebriti terkenal seperti George Clooney, Brad Pitt dan David Beckham yang menawan ramai wanita dengan membiarkan wajah mereka tidak dicukur bersih.


5. Jimat dan Memudakan

Simpan jambang dapat menjimatkan duit daripada membeli shaver dengan kerap. Masa bercukur di dalam toilet juga dapat dijimatkan sebab hanya perlu mencukur misai dan merapi bahagian yang tertentu. Dan anda akan terasa sangat muda apabila anda tiba-tiba mencukur licin jambang anda. Heheh. Ini teori aku.

Rujukan:-




SZ: Semoga entry ini dapat mengubah persepsi negatif terhadap lelaki berjambang dan menaikkan lagi saham aku. Dear jodoh-jodoh! Come to papa! I'm awesome. Heh. =.='

Wednesday, February 13, 2013

Syukur Saya Dapat BR1M 2.0

Alhamdulillah.. Syukur. Tadi saya telah berjaya menghadirkan diri ke majlis penganugerahan BR1M 2.0 walaupun saya sengaja pergi lewat semata-mata untuk mengelakkan diri dari mendengar ceramah pemimpin BN kawasan tempat saya yang tujuan utamanya tidak lain tidak bukan untuk berkempen mempromosi diri sempena PRU13 yang bakal tiba nanti.

Setelah melalui beberapa prosedur yang mana saya terpaksa beratur panjang sebanyak 3 kali dengan penuh kesabaran dan semangat berkobar-kobar, akhirnya saya berjaya juga menggenggam segumpal wang kertas berjumlah RM250 tunai. Sesungguhnya, wang kertas bernilai RM250 tu sungguh besar nilainya bagi saya sebagai seorang rakyat marhaen yang masih bujang dan tidak makan rasuah. Dengan tidak semena-mena, persepsi saya terhadap Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah berubah.

Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga  kepada Kerajaan BN di atas pemberian BR1M ini. Saya cukup terharu dengan usaha para menteri yang terpaksa berjimat cermat dan mengikat perut malah ada yang menggunakan wang hasil dari amalan menabung sejak kecil semata-mata ingin mengumpul dana BR1M ini yang saya kira nilainya jutaan ringgit. Penyokong parti pembangkang sepatutnya berasa malu untuk menerima pemberian ini kerana itu adalah duit poket para menteri BN.

Bagi saya, janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak, menurunkan harga kereta, memberi pendidikan percuma dan menurunkan harga barangan lain tidak akan membantu saya menyelesaikan masalah kos sara hidup yang tinggi sekarang ini. Tapi, saya yakin bahawa dengan pemberian BR1M RM250 ini, masalah kewangan saya akan selesai.

Saya akan gunakan wang tersebut untuk mengisi minyak motor, menolong meringankan beban ibubapa saya menanggung kos pembelajaran adik-adik saya di IPT. Malah, saya juga akan guna duit tersebut untuk membeli kereta, membeli barang keperluan dapur seperti gula, membeli smartphone, membayar bil elektrik dan membelanja kawan saya makan choki-choki. Saya akan manfaatkan RM250 itu dengan sebaiknya selama 4 tahun dengan berhemah. Syukur.

Dengan ini, saya berjanji dengan sepenuh hati akan memberi sokongan 100% terhadap Barisan Nasional untuk menjadi pembangkang di Malaysia selepas PRU13 nanti. Sekian.



SZ: Orang bagi kita ambik.