Pages

Saturday, June 23, 2012

Pengalaman Menyaksikan Saat Pengebumian Almarhum Ustaz Fadzil Noor


Tanggal 23 Jun 2012, genaplah 10 tahun pemergian seorang mujahid terulung dan pemimpin yang sangat aku kagumi iaitu Almarhum Dato' Haji Fadzil bin Mohd Noor. Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta kerana masalah jantung. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah. Yang mana jarak rumah aku dengan pusara Ustaz Fadzil hanya memakan masa 30 saat jika menaiki motosikal.

Masih segar lagi dalam ingatanku peristiwa 10 tahun lepas. Ketika itu, aku masih di tingkatan 3, Maktab Mahmud Alor Star dan menetap di asrama. (Almarhum Ustaz Fadzil juga merupakan seorang bekas pelajar Maktab Mahmud dan pernah menjadi tenaga pengajar di situ pada tahun 1967). Sebaik sahaja aku dan kawan-kawan mendapat berita mengejutkan mengenai pemergian Ustaz Fadzil, kami bergegas menaiki bas awam ke Pokok Sena. Sepanjang perjalanan kami menaiki bas, jalanraya sangat sesak. Penuh dengan kenderaan dan orang ramai yang berpusu-pusu ke sana untuk memberikan penghormatan terakhir.


Setibanya di sana, aku tergamam melihat lautan manusia memenuhi jalanraya antara Pokok Sena dan Kuala Nerang. Ramai juga yang berebut-rebut mahu mengambil bahagian mengusung keranda Almarhum untuk disolatkan. Solat jenazah yang diimamkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz pula terpaksa dibuat secara berulangkali kerana terlalu ramai yang ingin menyembahyangkan jenazahnya. Sehinggakan ada yang berjemaah di bumbung terbuka banglo seorang hamba Allah.

Jangan salah faham. Ni bukan solat jenazah. Ini solat maghrib ke asar ntah. Aku pun dah lupa.

Subhanallah.. Jika di dunia Allah dah tunjuk bagaimana jutaan umat manusia mengiringi pemergian beliau, apatah lagi di akhirat kelak. Terasa meremang bulu roma aku setiap kali melihat gambar-gambar dalam akhbar sisipan khas sempena pemergian beliau yang masih tersimpan rapi sehingga sekarang. Seumur hidup aku, itulah kali pertama dan terakhir aku menyaksikan fenomena sebegitu.


Semasa hayatnya, Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah. Dan doanya supaya mantan Perdana Menteri Tun M dipanjangkan umur supaya sempat melihat kebangkitan umat Islam di bumi Malaysia. Alangkah indahnya jika Almarhum Ustaz Fadzil masih ada untuk sama-sama melihat kebangkitan anak muda dan revolusi yang berlaku pada masa kini. Secara peribadi, aku lebih suka jika dapat ber'PerdanaMenteri'kan Almarhum Ustaz Fadzil. Seorang pemimpin yang disegani kawan dan lawan.

Aku juga membesar dengan mengikuti ayah aku menghadiri ceramah-ceramah beliau di Muassasah Darul Ulum. Setiap kali hari raya, aku dan keluarga tidak akan melepaskan peluang  menunaikan solat sunat hari raya berimamkan Ustaz Fadzil di Muassasah dan mengambil peluang bersalaman dengan beliau. Suasana di Muassasah ketika itu sangat meriah jika hendak dibandingkan dengan hari ini. Pemergian Ustaz Fadzil memang sangat dirasai.

AL-FATIHAH~~


* KLIK Latar Belakang Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor (1937-2002)



SZ : Ini tahun ke-3 aku berkongsi pengalaman ini di blog. Aku tidak jemu mengimbau kisah ini berulang kali. Bukan taksub, tapi kagum.

Wednesday, June 20, 2012

Tok Guru Yang Belah Mulut Aku Ketika Bayi, Maut Dirempuh..

Hari Ahad lepas, sementara menunggu masakan tengahari siap, aku membelek-belek akhbar Metro Ahad bertarikh 17 Jun 2012 yang dibeli pada pagi tersebut. Kebiasaannya, seorang lelaki sejati seperti aku membaca akhbar bermula di bahagian belakang terlebih dahulu. Tetapi hari itu, entah kenapa aku memulakan bacaan dari bahagian depan seperti kebanyakan manusia normal yang lain.

Selak punya selak hingga ke mukasurat 8, aku tertarik pada tajuk "Tok Guru Dirempuh". Terpampang juga di situ gambar seorang warga emas. Aku amati wajah tersebut, kelihatan sangat familiar. Aku pun meneruskan bacaan. Bait-bait ayat laporan berita tersebut tambah meyakinkan aku.

"Tok Lang Sahak?". Aku terus ke dapur menunjukkan berita tersebut kepada Mak aku bagi mendapatkan kepastian. Memang benar. Tidak syak lagi. Itu memang Tok Lang Sahak. Innalillah...


Tok Lang Sahak merupakan panggilan aku kepada arwah. Kami tidak mempunyai pertalian darah. Beliau cuma seorang sahabat baik arwah Tok Wan aku yang juga merupakan seorang Tok Guru di Pondok Lebai Ali di Tualang yakni kampung tempat aku tinggal dulu. Beliaulah yang membelah mulut aku ketika bayi dulu. Dan beliau jugalah yang membawa aku menjejak tanah buat pertama kali selepas kelahiran. Disebabkan Tok Wan aku telah meninggal dunia sejak ayah aku belum bernikah lagi, jadi ayah aku menjemput Tok Lang Sahak untuk melakukan upacara tersebut.

Belah mulut adalah istilah kepada tahnik. Tahnik bermaksud memamah kurma dan menggosok kurma yang dimamah itu menggunakan jari ke mulut bayi. Juga boleh dilakukan dengan menggunakan manisan lain seperti pisang atau madu. Selalunya dilakukan oleh orang yang dianggap soleh seperti imam, ulama atau tok guru. Ia merupakan sunnah Rasulullah. Manakala upacara pijak tanah pulak ialah membawa bayi keluar rumah dan memijak tanah buat pertama kali sambil membaca doa-doa tertentu. Difahamkan ini pula cuma adat.

p/s : Disebabkan ada yang tak tahu belah mulut tu apa, aku akan terangkan secara detail dalam entry akan datang.

Arwah Tok Lang Sahak mendukung aku keluar rumah untuk pijak bumi buat pertama kali.
Lokasi : Kampung Keriang Menora, Tualang. Sekitar tahun 80-an.

Tak sangka Allahyarham pergi dalam keadaan tragis. Mungkin ada hikmahnya juga berita kemalangan tersebut masuk paper. Kalau tak, mungkin kami sekeluarga tidak tahu mengenai kematiannya. Kerana ayah aku dah lost contact dengan anaknya, Pak Cik Ahyad sejak beberapa tahun selepas kami berpindah. Disebabkan berita kematian ini sudah terlambat, kami tidak sempat menatap jenazahnya buat kali terakhir. Hanya mampu menziarahi pusara dan keluarganya sahaja.

AL-FATIHAH...



SZ : Godek-godek album lama boleh buat air mata menitis. Membangkitkan nostalgia.

Friday, June 15, 2012

Isu Pembunuhan Umat Islam Rohingya di Myanmar

Sekiranya kita ditanya mengenai umat Islam di negara manakah yang tertindas ketika ini, nescaya yang kerap keluar dari mulut kita adalah Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq, dan sebagainya. Tapi, berapa ramai di antara kita yang ambil tahu tentang penindasan yang berlaku terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar (Burma) sejak sekian lama?

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Jadi, luangkan sedikit masa dan rajinkan diri membaca untuk mengambil tahu isu ini. Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”



1. Sejak 3 hb Jun 2012 baru-baru ini, 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu dibunuh dalam sebuah bas yang sedang pulang dari majlis Tabligh untuk kembali ke Rangoon, oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine.

2. Mereka diserang setelah seorang wanita Rakhine dikatakan telah dirogol dan dibunuh oleh orang Rohingya. Lanjutan itu, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan.

3. Manakala kampung Sara Prang dan Tarang Shong di daerah Rathidong telah dibakar semuanya sehingga tidak ada seorang pun lagi yang tinggal. Akibatnya ketegangan telah tercetus apabila orang Islam Rohingya terus dijadikan sasaran oleh Buddhis Rakhine termasuk di kawasan kampung lain di seluruh wilayah Arakan.

4. Setakat ini pertempuran antara pendudukan etnik Rohingya Muslim dan pihak keselamatan telah merebak ke beberapa perkampungan lain. Laporan yang diterima, polis menembak ke arah penduduk dan sehingga kelmarin beberapa orang telah terbunuh sementara ramai yang cedera.

5. Berdasarkan maklumat langsung dari Maungdaw, sebenarnya ramai umat Islam Rohingya yang telah dibunuh dalam tempoh beberapa hari yang lalu. Dari berita Kaladan Press Network, dilaporkan 100 orang Rohingya telah ditembak mati dan lebih 500 orang lagi cedera di Maungdaw.

6. Namun, mayat mereka yang dibunuh telah diangkut oleh tentera dan polis dan sehingga kini tidak diserah kepada keluarga yang berkenaan. Oleh sebab itu tidak ada maklumat tepat bilangan yang terbunuh sehingga kini.

7. Pelarian Rohingya di Malaysia melaporkan bahawa mereka berhubung langsung dengan keluarga di Arakan dan mendapati ramai yang tercedera tapi tidak dibenarkan mendapat rawatan di hospital. Akibatnya ramai yang mati dalam keadaan tidak mendapat ubat dan rawatan yang diperlukan.

8. Lebih memeranjatkan, pihak keselamatan, polis dan tentera, kini dilaporkan telah bekerjasama dengan etnik Rakhine untuk melancarkan serangan ke atas etnik Rohingya Muslim. Walaupun darurat diisytiharkan di Maungdaw dan kini di seluruh Arakan, pihak polis dan pengganas Rakhine dilaporkan terus menyerang penduduk Rohingya tanpa belas kasihan.

9. Pihak berkuasa telah menguatkuasakan Akta 144 yang menghadkan pergerakan penduduk, namun etnik Rakhine telah dibiar bebas berkeliaran di bawah pengawasan polis untuk membakar rumah dan merampas barangan penduduk Rohingya.

10. Setakat ini, berita yang diterima, empat perkampungan telah diserang dan dibakar. Rumah penduduk di sebuah kampung Samamia Para @ Myothu Gitelah dibakar termasuk sebuah masjid turut dirosakkan.

11. Rumah orang Rohingya dikawal rapi oleh pihak keselamatan, namun bukan untuk melindungi mereka, akan tetapi untuk menembak mereka jika mereka keluar rumah. Lantaran itu, penderitaan umat Islam Rohinga dalam beberapa hari ini bertambah parah bila mereka tidak dapat keluar dari rumah untuk membeli keperluan makanan seharian.

12. 9 hb Jun 2012, sebuah kampung iaitu Hazmia Para telah juga diserang dan dibakar. 10hb Jun 2012 , dua kampung paling besar iaitu Warlispara dan Saki Para (dua kampung paling ramai umat Islam Rohingya) yang mempunyai Madrasah dan ribuan pelajar telah diserang oleh pihak Rakhine.

13. Dilaporkan ramai yang terbunuh , masjid dan Madrasah di kampung tersebut juga dibakar. Dari maklumat terkini, semua perhubungan terputus dari Arakan termasuk tidak membenarkan sebarang rakaman mengenai apa yang berlaku di Arakan. Hanya melalui rangkaian telekomunikasi dari bandar sempadan dengan Bangaladesh iaitu Maungdaw sahaja telefon boleh berfunsgsi untuk mendapat maklumat.

14. Kutukan keras dilemparkan terhadap pihak berkuasa Myanmar yang sejak 1982 telah melancarkan penghapusan etnik terhadap kaum Rohingya. Umat Islam Rohingya pernah diperlaku secara kejam oleh regim tentera Myanmar pada tahun 1982 yang mengakibat 100,000 orang Rahingya terbunuh.

15. Kini lebih 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 di Thailand, 150,000 di Pakistan, 40,000 di Malaysia. Puluhan pelarian di kem pelarian di Kutupalong dan Coax Bazar di Bangladesh berada dalam keadaan sangat dhaif kerana pihak berkuasa Bangladesh tidak memberi sebarang bantuan.

16. Nasib umat Islam Rohingya yang berada di Myanmar berada dalam keadaan yang sangat buruk dan sangat tenat. Undang-undang dan operasi keselamatan Nasaka sejak 1982 telah mengakibat kesengsaraan yang berat ke atas Umat Islam Rohingya yang masih berada di wilayah Arakan, Myanmar .

17. Antara penderitaan yang dialami ialah perampasan rumah, tanah, ternakan, pemusnahan masjid, arahan tidak dibenarkan membaiki mana-mana Masjid, ratusan Masjid dimusnah dan diganti dengan Pagoda Buddha, perkahwinan dan pergerakkan yang dihadkan hanya dengan keizinan tentera, penangkapan, penyiksaan tanpa bicara, perkosaan wanita dan pemaksaan keluar dari Islam dan dipaksa mengganut Buddha.

18. Penduduk Rohingya didera sehingga tidak dibenarkan memiliki walaupun pisau atau parang untuk kegunaan di rumah kecuali dengan izin tentera. Malah mereka juga tidak boleh memiliki telefon bimbit. Ada yang ditangkap dan dipenjara sehingga 7 tahun hanya kerana memiliki telefon bimbit.



Semoga kerajaan Malaysia menyatakan pendiriannya mengenai pembunuhan umat Islam oleh regim tentera Myanmar supaya segera mengambil tindakan untuk mengerakkan inisiatif dari pihak ASEAN agar pembunuhan ini dapat dihentikan dan etnik Rohingya dibela dan dilindungi. Kita mesti bertindak tegas jika penyembelihan umat Islam di Myanmar berterusan. Kekejaman regim tentera Myanmar menzalimi umat Islam Rohingya di Myanmar mesti dihentikan!



p/s : Klik Siapa Umat Islam Rohingya?

p/s : Lebih banyak gambar bukti pembunuhan umat Islam Rohingya oleh puak Rakhine dan polis, KLIK documentary evidence

p/s : Dapatkan maklumat terkini mengenai isu Rohingya di facebook Kami Bersama Umat Islam Rohingya



SZ : Euro tu euro jugak... Hal umat Islam jangan lupa..

Siapakah Umat Islam Rohingya?

Selama beberapa dekad, orang-orang Rohingya telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar (Burma).

Dalam satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Ireland (ICHR), seorang pakar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendakwa bahawa kekejaman massa yang dilakukan oleh kerajaan junta tentera terhadap minoriti Rohingya yang tinggal di daerah Barat Myammar mungkin merupakan antara jenayah terhebat terhadap kemanusiaan di abad ini.

Permasalahan mereka telah telah diabaikan selama bertahun-tahun dan tiada sebarang tindakan yang sistematik telah dilakukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan sebagai masyarakat manusia yang normal.

Pelarian Rohingya yang dilayan seperti hamba di Thailand


Siapakah umat Islam Rohingya?

Umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Burma (kini Myanmar) di Negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan, dan Bengali. Penyebaran Islam di Arakan (dan di sepanjang kawasan pantai selatan Bangladesh) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini.

Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha Arakanese.



Apakah nasib mereka?

Umat Islam Rohingya telah dinafikan daripada hak-hak asasi kemanusiaan dan sentiasa terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia secara konsisten oleh pihak juta tentera Myanmar.


Di antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka :

a) Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka.

b) Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayah Arakan

c) Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan bangunan berek tentera.

d) Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran



e) Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan

f) Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar

g) Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942 apabila lebih 100,000 orang di kalangan mereka yang telah dibunuh.

h) Pada tahun 1978, seramai 300,000 di kalangan mereka telah dihalau keluar serta merta ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai di kalangan mereka mati kebuluran dan akibat penyakit.

i) Pada tahun 1991, tentera Burma sekali lagi telah melakukan operasi pembersihan apabila 268,000 di kalangan mereka terpaksa melarikan diri kerana Myanmar ternyata tidak lagi selamat untuk mereka


Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan besar, mereka mula mengambil bot-bot kecil ke laut terbuka dengan harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi dan agama. Ada di kalangan mereka yang mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh semua negara ini.

Diheret ke tengah lautan dalam dan dibiarkan di dalam kapal yang telah dicabut enjinnya

Bahkan ramai di kalangan 'orang bot’ yang mendarat di Thailand telah dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju. Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ribuan di kalangan mereka yang telah mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Tiada siapa yang mahukan mereka! Bahkan negara-negara yang mendakwa mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan bahawa seolah-olah umat ini ‘tidak ada harga’ kepada mereka. Umat Islam Rohingya telah memohon diberikan status ‘Pelarian Sementara Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain bersetuju untuk mengambil mereka buat sementara. Indonesia dikatakan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat sementara.

Pelarian Rohingya di Acheh


Kenapakah mereka dilupakan?

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan daripada saudara seaqidah mereka.

Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Keceriaan mereka, kegembiraan kita.

Dari Nu’man bin Basyir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda :

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.” Hadith riwayat Muslim.


sumber : zainurrasyid






SZ : Sayu melihat penderitaan mereka.

Saturday, June 2, 2012

Suasana Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Darulaman Kedah (My Story)


Semalam, 1 Jun 2012 telah berlangsungnya Himpunan Hijau ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darulaman, Alor Star, Kedah. Sebagai seorang anak jati Kedah yang mana rumah aku hanya setengah jam dari stadium, maka tidak wajar rasanya untuk aku melepaskan peluang menghadiri perhimpunan tersebut. Yelah.. Nak pergi perhimpunan 'aman' sempena Hari Belia di Putrajaya tempoh hari, aku tak mampu sebab jauh sangat. Demi memantapkan akidah, aku nekad untuk pergi.

Selepas solat asar, dengan berpakaian serba hijau, aku pun bertolak ke stadium dengan menaiki kereta bersama 4 orang adik aku yang beria betul nak pergi. Semangat anak mudalah katakan. Depa nak sangat dengar kuliah Ustaz Azhar Idrus secara live. Jadi, aku terpaksa menolak ajakan rakan-rakan aku yang mengajak aku berkonvoi dengan mereka demi meraikan adik-adik aku sempena cuti sekolah ni. Disebabkan jalan sesak yang teramat sangat, kami terpaksa parking kereta di Taman PKNK dan berjalan kaki selama 15minit menuju stadium. Kami bernasib baik kerana masih lagi sempat mendengar kuliah asar Ustaz Azhar yang sudah sampai ke penghujungnya.

Pada sebelah malamnya, orang ramai mendirikan solat maghrib secara berjemaah di padang stadium. Kemudian disusuli solat hajat dan solat isya' berjemaah. Tidak kurang, ada juga yang terpaksa solat di merata-rata di perkarangan stadium disebabkan bahagian dalam stadium terlalu sesak. Setelah solat, aku mengambil peluang untuk meronda di gerai-gerai perkarangan stadium bagi membeli makanan untuk mengalas perut. Alangkah malangnya nasib kami kerana yang tinggal hanyalah karipap sardin. Karipap pun karipaplah.

Setelah membeli karipap dan secawan milo ais, kami pun melangkah masuk ke dalam stadium dengan harapan dapat menyaksikan konsert K-Pop seperti yang disajikan sempena Hari Belia di Putrajaya tempoh hari. Disamping mahu mencuci mata melihat awek-awek seksi berkeliaran bersama pasangan masing-masing. Walaubagaimanapun, niat kami untuk memantapkan akidah dengan nasyid Kepop tidak kesampaian. Niat untuk mencuci mata juga dibantutkan dengan ribuan muslimat yang bertudung labuh dan berpurdah. Yang lelaki pulak berkopiah dan berserban. Kami juga hanya disajikan dengan ceramah agama dan politik. Kah Kah Kah. ;-p

Suasana di dalam stadium tersangatlah awesome mengalahkan perhimpunan agung Umno di stadium Bukit Jalil. Jika menurut kiraan matematik Dr Rais Yatim dan laporan TV3, pasti yang dilaporkan hadir cuma sekitar 10ribu orang sahaja. Tapi, realitinya ratusan ribu orang. Itu belum lagi dikira umat manusia yang berada di perkarangan stadium kerana tidak dapat menembusi pintu stadium yang sangat sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu masuk. Aku pula, hanya mampu berdiri dengan gagah di bahagian tempat duduk bertentangan astaka utama.

Oklah. Cakap banyak pun tak guna. Ni ada secebis gambar dari kamera henpon cabuk aku beserta video dari video cam murah aku. Seperti biasa, sila klik gambar untuk tumbesaran sihat.



Berjalan kaki menuju stadium dari Taman PKNK disebabkan jalan sesak ya amat.

Akhirnya sampai ke destinasi

perkarangan stadium pada sebelah petang yang agak mendung

tak ramai pun kan.

Eh.. Awat kosong ni? Hujan rintik2 bukanlah penghalang.

Kuliah asar Ustaz Azhar Idrus

Sebelah malam..

Aku cuba kira. Ada dalam 2, 3 ratus orang je.

Tak ramai pun kan.

Kelihatan bendera palestin di situ.

ketika melafazkan ikrar berbaiah sumpah setia dengan perjuangan Islam.

Laksa Bersih. Duduk dan makan! Jangan Bantah!

Todiaa... Ayahanda segala printing.

Ketika majlis selesai tepat jam 12malam.






Sekian saja dari saya..



SZ : Dah seminggu aku tak online. Online ni pun sebab nak update pasal Hijau ni. Haha..